KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng bersyukur kerana memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap individu bernama Norsufiah yang juga dikenali sebagai CP berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap mereka.
Menurut Nur Nilam Ortiz, keputusan tersebut merupakan satu langkah positif dalam usaha mereka menegakkan kebenaran dan melindungi reputasi daripada kenyataan tidak benar di ruang awam.
“Saya anggap ini permulaan yang baik dalam perjuangan kami mencari kebenaran. Kami hanya mahu membersihkan nama dan meneruskan kehidupan dengan tenang. Semoga proses mahkamah berjalan lancar.

“Perintah injunksi ini menandakan langkah penting dalam memastikan isu berkenaan diselesaikan melalui proses perundangan yang sah dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melarang pihak CP daripada mengeluarkan, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan berpotensi fitnah terhadap pasangan berkenaan sementara menunggu penyelesaian penuh kes saman yang difailkan oleh pihak Nur Nilam dan Azlan.
Perintah injunksi ini disahkan oleh firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co yang mewakili pasangan tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette
















