Gabriel Palmero. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero kini berstatus ejen bebas selepas kelabnya, CD Tenerife menamatkan kontraknya selepas mengambil kira keputusan rayuan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengumuman dibuat menerusi sebuah hantaran di laman media sosial CD Tenerife berikutan kes melibatkan dakwaan pemalsuan dokumen Palmero.

Keputusan itu turut melibatkan kontrak pinjaman Palmero ke Unionistas de Salamanca CF dan menyaksikan pertahanan kiri warisan Malaysia-Sepanyol ini berstatus  tanpa kelab.

”Gabriel Palmero telah ditamatkan kontrak pada 7 November melibatkan kedua-duanya sekali iaitu perpindahan pinjaman ke Unionistas de Salamanca CF dan kontrak asalnya bersama CD Tenerife,” umum kelab itu.

Unionistas de Salamanca dalam sebuah kenyataan turut memaklumkan hal yang sama dan berterima kasih buat Gabriel Palmero di atas sumbangan beliau selama lima bulan di sana.

“Kami mencapai persetujuan dengan CD Tenerife untuk menamatkan perpindahan pemain Gabriel Palmero, susulan berita yang diterima daripada FIFA pada 25 September dan selepas rayuan yang dikemukakan olehnya ditolak pada 3 November lalu.

“Unionistas de Salamanca mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beserta komitmen yang ditunjukkan oleh Gabriel Palmero sepanjang tempoh bersama pasukan,” umum kelab pinjaman pemain berusia 23 tahun itu.

Palmero dan enam lagi pemain warisan Malaysia ketika ini sedang digantung oleh FIFA selepas dituduh di dalam kes pemalsuan dokumen bagi membolehkan mereka menyarung jersi skuad negara.

Setakat ini, kes ini difahamkan bakal dibawa ke CAS selepas rayuan yang dihantar oleh FAM sebelum ini ditolak oleh FIFA yang menyaksikan keputusan Malaysia dihukum masih kekal setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast