Anwar merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya di Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini memastikan setiap projek infrastruktur disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan bagi menjamin kepentingan rakyat dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas beliau, Malaysia kini berada pada tahap yang diyakini pelabur asing, justeru semua agensi kerajaan, jabatan dan syarikat pengendali perlu memastikan projek berkaitan infrastruktur dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Maknanya, (ini satu) keperluan Kerajaan Persekutuan mengatur dasar dan kerjasama (bersama) kerajaan negeri yang progresif dan cekap. Ini membantu sebenarnya, jadi saya harap kita jaga keamanan dan jaga kepentingan negara dan kepentingan rakyat.

“Saya tidak pernah mengaku bahawa kita ini sudah perfect (sempurna). Kalau memang ada kelemahan kita betulkan namun kelewatan tidak harus berlaku dan perlu dipercepatkan.

“Kita keras membantah rasuah yang menjadi punca kepada kelewatan dan ia masih berlaku. Kita bagi amaran dan bagi laluan sepenuhnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), polis, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) kerana itu tanggungjawab mereka.

“Jadi kita dapat kumpul dana yang besar, menyelamatkan negara daripada ketirisan, pemborosan dan rasuah. Jadi agendanya belum selesai,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini hari ini.

Menurut beliau, projek penyuraian trafik itu amat penting bagi mengurangkan kesesakan yang sekian lama dihadapi pengguna bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi turut memberi manfaat kepada negeri-negeri utara termasuk Kedah.

“Saya harap dengan majlis seperti ini yang menunjukkan kepentingan infrastruktur dari segi keselesaan rakyat. Itu yang utama. Keselesaan rakyat dari segi pengangkutan lebuh raya dan dapat meyakinkan pelabur,” katanya.

Anwar turut mengaitkan keperluan infrastruktur dengan pelaksanaan Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah Kerian yang bakal menjadi projek besar berteknologi hijau.

“Bila berunding dengan pakar dan pelabur, mereka kata ada pelabuhan di Pulau Pinang, lapangan terbang di Pulau Pinang tapi jalan sesak. Jadi pelabur bangkitkan isu ini. Pada masa itu saya bagi jaminan kita akan selesaikan dan hari ini Alhamdulillah peringkat pertama dah selesai,” katanya.

Untuk rekod, projek PTJSD yang menelan kos kira-kira RM3 bilion dengan jajaran sepanjang 17.3 kilometer itu dijangka mengurangkan kesesakan di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik di utara Semenanjung.

Masalah kesesakan tersebut telah lama menjadi rungutan pengguna dan penduduk setempat, khususnya pada waktu puncak, musim cuti serta perayaan, dan pelaksanaannya dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi wilayah ini.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast