PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekiranya terdapat kelemahan dalam kepimpinannya – teguran dan kritikan harus disampaikan secara bertanggungjawab – bukan melulu dengan cacian.
Anwar berkata, beliau akan terus memimpin negara dan menerima kritikan, walaupun terdapat rancangan perhimpunan ‘Turun Anwar’ buat kali kedua.
“Sekarang dah rancang nak buat perhimpunan ‘Turun Anwar’ lagi dan saya ulang sekali lagi… Buatlah… Tapi saya akan teruskan (tanggungjawab memimpin negara).
“Kalau ada kelemahan, memang ada. Apa? Dalam bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, tidak ada kelemahan. Tak betul. Ada kelemahan.
“Ada yang belum saya buat? Ya. Masih banyak yang saya belum lakukan. Tegurlah…kritiklah…nasihatlah. Tapi dengan cara tidak gila,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani di sini hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar turut memohon maaf kerana mengambil masa yang panjang untuk menurunkan harga minyak selain menjelaskan tindakan itu dipengaruhi oleh peningkatan hutang negara.
“Betul.. saya kata kalau kita menang, minyak kita turunkan. Saya minta maafkan ambil masa panjang sekali. Kerana apa? Masa saya bercakap tu, hutang baru RM800 juta dan masa saya jadi Perdana Menteri, hutang dah RM1.5 trilion.
“Jadi, saya manfaatkan waktu ini untuk menjelaskan kerana ada orang kata mengapa jelaskan dalam forum begini. Di mana lagi kita nak terangkan? Di Permatang Pauh ini, ada sanak-saudara dan keluarga saya.
“Saya tidak mahu mereka dengar fitnah. Dan termakan dengan hasutan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pas sedia mempertimbang mengambil tindakan undang-undang dan menganjurkan himpunan mega ‘Turun Anwar 2.0’ dalam usaha menghentikan kerosakan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu memantau dengan dekat dan serius perkembangan berkaitan perjanjian yang turut mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan pakar undang-undang. – MalaysiaGazette
















