UTAR menerima Anugerah QS Rating 5 Plus Stars Outstanding oleh Quacquarelli Symonds (QS) di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berjaya menduduki tempat ke-109 di Asia dan ke-26 di Asia Tenggara dalam QS Asia University Rankings 2026 berbanding di tangga 251–300 pada tahun 2013 kepada 131 pada tahun 2025.

Menurutnya, lonjakan ke-109 pada tahun 2026 menunjukkan peningkatan yang berterusan, hasil daripada dedikasi berterusan dan pertumbuhan strategik.

Pencapaian penting di peringkat serantau ini menonjolkan pengaruh UTAR yang semakin meluas dalam landskap pendidikan tinggi Asia serta mengukuhkan komitmennya untuk menyampaikan pendidikan berkualiti, penyelidikan yang berimpak tinggi, dan penglibatan global.

Dalam penilaian 2026 ini, UTAR mencatat peningkatan ketara dalam tiga bidang Utama iaitu pelajar pertukaran masuk, pelajar pertukaran keluar, dan kakitangan dengan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Menambah kepada kejayaannya, pada 6 November 2026, UTAR telah diberi penghormatan dengan Anugerah QS Rating 5 Plus Stars Outstanding oleh Quacquarelli Symonds (QS) semasa QS Higher Education Summit – Asia Pacific yang diadakan di Seoul, Korea Selatan.

UTAR juga merupakan satu-satunya universiti yang menerima Anugerah 5 Plus Stars Outstanding pada majlis tersebut, pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada institusi yang mencapai penarafan 5 bintang dalam kesemua sembilan kategori maksimum yang dinilai.

Kategori tersebut merangkumi Pengajaran, Penyelidikan, Kebolehpasaran Graduan, Kemudahan, Penglibatan Global, Tadbir Urus Baik, Impak Alam Sekitar, Seni dan Budaya, serta Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusiviti.

Pencapaian berganda ini menunjukkan prestasi cemerlang UTAR dalam pelbagai penunjuk strategik seperti kerjasama penyelidikan antarabangsa, mobiliti pelajar dan kakitangan, reputasi majikan, serta amalan institusi yang mampan.

Kesemua ini mencerminkan komitmen universiti untuk membangunkan persekitaran pembelajaran yang berteraskan penyelidikan, inklusif, mampan, dan bersambungan di peringkat global, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast