Solehah Yaacob

KUALA LUMPUR – Orang Melayu adalah antara bangsa pertama dalam sejarah manusia yang membangunkan seni pembinaan kapal manakala Rom mewarisi ilmu pelayaran daripada tamadun maritim yang lebih awal khususnya dunia Melayu.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Solehah Yaacob berkata, hipotesisnya yang berpaksikan kepada sumber Arab klasik mencadangkan, orang Rom memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal dari Alam Melayu.

“Tidak seperti bangsa Eropah yang berbudaya benua, orang Melayu mengungguli tamadun maritim melalui kecekapan dalam ilmu pelayaran dan pembinaan kapal menjadikan mereka antara penguasa lautan terawal dalam sejarah manusia,” ujarnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hantaran Facebook Profesor Dr. Solehah Yaacob menjelaskan isu kapal Rom dan kaitannya dengan dunia Melayu. Gambar Ihsan Facebook sumber. 9 NOVEMBER 2025.

Menurut Solehah, Kerajaan Rom tidak terlibat dalam aktiviti maritim antarabangsa yang besar sebelum tahun 31 S.M. iaitu selepas menakluki Mesir.

Beliau berkata, sebelum tempoh tersebut, mereka belum memiliki keupayaan pelayaran yang maju kerana jarak antara Rom dan Mesir adalah pendek dan tidak memerlukan pelayaran samudera sebenar.

Ujarnya, meskipun sukar untuk menentukan secara tepat bagaimana teknologi maritim Melayu sampai kepada orang Rom, proses pemindahan ilmu tersebut pasti melibatkan pelayaran merentasi lautan luas.

Menurut pensyarah itu, kayu dari benua Eropah pada waktu itu juga tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh.

Namun begitu, ujar Solehah, bangsa Rom, Viking dan Slav diketahui sering mencari besi berkualiti tinggi untuk pembuatan senjata dalam peperangan dan penaklukan.

Katanya, beberapa sumber Arab menyebut tentang al-gal’a al-Ramr yang bermaksud `pedang Rom Qal`a’ juga dikenali sebagai al-Sharbuatin.

“Hal ini berkemungkinan mendorong orang Rom mendapatkan pelayar berpengalaman dari Mesir, bahkan mungkin dari dunia India atau Alam Melayu, untuk membimbing mereka kepada sumber besi Qal`a.

“Ulama Islam klasik menjelaskan bahawa seni peleburan besi telah berkembang di kawasan Qal`a. Ahli falsafah Arab menyatakan, lokasi al-Qal’a ini terletak di bahagian barat laut sebuah wilayah yang dikenal pasti sebagai Kedah purba,” ujarnya.

Solehah menjelaskan perkara itu bagi menjernih dan menafikan serangan sesetengah pihak susulan syarahan umum yang disampaikannya di Gombak Setia dekat sini pada 31 Disember 2022.

Menurut pensyarah itu, syarahan tersebut antara lain membincangkan hubungan sejarah antara bangsa Rom dan dunia Melayu namun beliau menjadi bahan ejekan di media sosial, tabloid dan juga media arus perdana.

Ujarnya, pelbagai platform telah mempermainkan kenyataannya dengan tajuk seperti `Orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu’ atau `Isteri Nabi Muhammad SAW, Khadijah ialah orang Melayu’.

Jelasnya, kenyataan `Orang Melayu Mengajar Orang Rom Membina Kapal’ dibuat berasaskan hipotesis penyelidikan yang telah dibangunkan hasil kajian mendalam sejak beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) pada 2005.

Kata beliau, dapatan penyelidikannya menunjukkan, pelayaran maritim utama pertama dalam sejarah manusia berlaku pada zaman Nabi Nuh (a.s.) yang meliputi kawasan dunia yang amat luas.

Ujarnya, ahli teologi British, Thomas Brightwell berpandangan bahawa orang Melayu merupakan bangsa tersendiri yang muncul selepas peristiwa Banjir Besar Nabi Nuh (a.s.) dan bangsa ini mungkin termasuk antara pelayar awal dalam sejarah manusia.

Menurut beliau, perkembangan teknologi bangsa Rom seperti sistem tulisan mereka yang diambil daripada bangsa Yunani dan akhirnya daripada bangsa Fenesia.

Katanya, ia membuktikan kemajuan mereka lahir daripada proses pinjam-meminjam daripada tamadun terdahulu.

Jelas beliau, dalam konteks itu, tidak boleh dinafikan kemungkinan teknik pembinaan kapal bangsa Melayu dan hubungan awal mereka dengan dunia India dan Mediterranean turut memberi pengaruh terhadap perkembangan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast