KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) harus bangkit menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah dengan semangat baharu bukan dengan dendam tetapi dengan kebijaksanaan.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, BN harus berdiri sebagai wadah yang membawa ketenangan dan kepastian serta tempat rakyat berpegang apabila dunia politik menjadi tidak menentu.
“Kita bukan lagi sekadar mahu menang pilihan raya, tetapi kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada nilai perjuangan yang sebenar iaitu kestabilan, pengalaman, dan keikhlasan membina negeri serta bangsa.
“Biarlah orang berbicara, biarlah ada yang meremehkan. Kita tidak perlu membalas dengan kata-kata, tetapi dengan hasil kerja yang nyata,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk menambah, rakyat perlu diberi ruang menilai siapa yang benar-benar bekerja, konsisten dan yang terus berkhidmat walau diuji.
Jelasnya, kekuatan sebenar bukan pada angka atau jawatan, tetapi pada kesetiaan terhadap perjuangan.
Dalam masa sama, kata beliau, Sabah bukan medan untuk menebus luka, tetapi tanah harapan di mana perjuangan BN boleh disemai semula dengan kasih, dengan perpaduan dan dengan visi yang jelas untuk rakyat.
“Kita yakin, dengan izin Allah, kesungguhan dan keikhlasan akan membuahkan kemenangan.
“Dan apabila saat itu tiba, ia bukan kemenangan individu, tetapi kemenangan bersama, kemenangan semangat, kesetiaan dan maruah Barisan Nasional yang tidak pernah hilang arah buat bumi bertuah Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















