Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr. Aliakbar Gulasan. - Foto: FB Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah kali ini agak janggal dan pelik apabila calon bebas membentuk pakatan tersendiri di kenali Gelombang Hitam.

Menurutnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Sabah yang mana calon bebas membentuk pakatan sendiri untuk bertanding pada PRN

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Sabah benar-benar mempertimbangkan calon yang menawarkan diri bertanding pada PRN-17 Sabah kelak.

Dalam pada itu, tambah beliau, Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun meletakkan calon yang bersedia menawarkan perkhidmatan terbaik buat penduduk Sabah.

Salah satunya, ujar Tuan Ibrahim, adalah di kerusi DUN Karambunai yang akan ditandingi Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang juga Pesuruhajaya Pas Sabah merangkap Naib Pengerusi PN Sabah.

Tambahnya, Aliakbar bukan orang asing di DUN Karambunai sebaliknya merupakan tokoh yang sudah lama bergelumang dengan kehidupan rakyat tanpa perlu menunggu pilihan raya.

“Alhamdulillah, saya melihat respon positif daripada para pengundi di Kampung Lokub apabila turun berprogram bersama Dr. Aliakbar.

“Sudah tiba masanya rakyat memilih seorang individu yang bekerja untuk rakyat dan boleh membawa suara mereka dalam DUN Sabah.

“Rakyat Karambunai sudah memilih wakil mereka daripada pelbagai parti semenjak dahulu, namun kali ini berikan peluang kepada wakil yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional iaitu Datuk Dr. Aliakbar,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, penduduk Sabah juga memerlukan sesorang pemimpin yang menjaga hubungannya dengan Allah, sesama manusia dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kerosakan.

“Ciri- ciri ini saya lihat ada pada Datuk Dr. Aliakbar. Saya yakin, kemenangan Dr. Aliakbar dan calon- calon PN nanti bakal mengubah landskap politik Sabah kearah Sabah yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Dalam PRN-17 Sabah pada 29 November ini , PN dijangka bertanding di 40 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi DUN dengan lima daripadanya akan diwakili calon Pas.

Majlis pengumuman rasmi calon-calon PN pada PRN-17 itu dijangka berlangsung esok.

Sementara itu, seramai 17 calon bebas yang menggelarkan diri mereka Gelombang Hitam setakat ini sudah menyatakan kesediaan bertanding antaranya, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast