KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, Kota Tinggi dipilih menjadi antara Sekolah Angkat Madani bagi tahun 2025.
Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan infrastruktur sekolah malah memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.
Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan inisiatif Whole of Government, yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan kementerian dalam memperbaiki sistem pendidikan di negara ini.
“Inisiatif Sekolah Madani menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa sistem pendidikan negara melalui sokongan yang lebih besar dari pelbagai agensi kerajaan, terutamanya bagi sekolah-sekolah luar bandar yang memerlukan perhatian lebih dalam aspek pembangunan fizikal dan pendidikan,” katanya yang hadir pada majlis pelancaran itu, hari ini.
SK Gembut sebelum ini menerima bantuan dana sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf kemudahan sekolah, terutamanya ruang kantin yang kini telah diperbesar dan dipertingkatkan untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar.
Kerja-kerja naik taraf ini telah dimulakan pada 1 September yang lalu.
Sekolah Angkat Madani merupakan sebahagian daripada program yang dikelolakan oleh Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan pelajar di sekolah dengan memberi tumpuan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan kondusif.
Turut dilancarkan menjadi Sekolah Angkat Madani hari ini adalah SK Felda Lok Heng, Kota Tinggi. – MalaysiaGazette
















