Gambar hiasan - Apple mengesahkan kerajaan China mengarahkan dua aplikasi temu janji gay dikeluarkan daripada Apple Store. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JUN 2024.

BEIJING – Pihak berkuasa China mengarahkan supaya dua aplikasi temu janji gay popular dikeluarkan daripada gedung mudah alih di negara itu.

Perkara itu disahkan Apple kepada AFP pada Selasa.

Pasangan sejenis tidak dibenarkan berkahwin secara sah di China dan diskriminasi masih berleluasa, dengan aktivis mengatakan bahawa ruang untuk ekspresi LGBTQ hampir lenyap dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada hujung minggu lalu, pengguna media sosial China menyedari bahawa versi penuh aplikasi Blued dan Finka, yang dimiliki oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong, telah hilang daripada gedung Apple dan Android.

Jurucakap Apple memberitahu AFP, berdasarkan arahan daripada Cyberspace Administration of China (CAC) pihaknya telah mengeluarkan dua aplikasi tersebut daripada gedung China sahaja.

Cyberspace Administration of China (CAC) ialah pengawal selia internet nasional dan badan penapisan tertinggi kerajaan. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, badan itu telah menghukum beberapa platform media sosial atas isu pengurusan kandungan.

“Kami mematuhi undang-undang di negara tempat kami beroperasi,” kata jurucakap Apple.

Awal tahun ini, pembangun aplikasi Finka telah “memilih untuk menarik balik aplikasi itu daripada gedung di luar China, dan Blued hanya tersedia di China,” tambah jurucakap itu.

Pada Selasa, versi ringkas Blued masih boleh dimuat turun daripada gedung aplikasi Apple di China.

Walaupun versi penuh telah dikeluarkan daripada gedung, pengguna sedia ada berkata aplikasi itu masih boleh diakses.

Newborn Town, pemilik Blued dan Finka, belum memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen AFP.

AFP masih gagal menghubungi CAC setakat ini.- AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast