SEGAMAT – Pemain gitar rock legenda, Joe Burnmark akan mencetus ledakan baharu dalam gelanggang pemain gitar solo menerusi persembahan di The View Hotel Segamat di sini pada 29 November ini.
Konsert Joe Burnmark Live In Concert itu akan menampilkan persembahan beliau secara instrumental selama dua jam selain diserikan dengan kumpulan jemputan Ijam Medicine & Alice Rocklize, Project Band, The blusmind dan Sallam lefthended.
Bekas pemain gitar kumpulan Burnmark itu yang terkenal dengan teknik permainan neo klasikalnya berkata, konsert tersebut nanti amat istimewa kerana tidak seperti persembahan kumpulan rock biasa.
“Ini merupakan satu konsert yang berkonsepkan seratus peratus permainan guitar neo klasikal dengan menggunakan Amplifier Marshall yang banyak.
“Konsert ini sebagai pencetus kepada satu kelainan dalam industri muzik negara yang sebelum ini belum ada mana-mana pemain gitar yang mempunyai kemahiran dan membuat persembahan muzik secara instrumental sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dan pelancaran tiket Konsert Joe Burnmark Live In Concert di Wisma Arshad di sini baru-baru ini.
Joe atau nama sebenarnya Zukifle Abdullah berusia 50-an berkata, empat kumpulan undangan terbabit akan membawakan lima buah lagu saduran.
Jelasnya, konsert berkenaan nanti akan terbahagi kepada tiga sesi dengan yang pertama adalah persembahan bersama-sama empat anaknya.
“Johanna akan bermain kibod, Putera Petrucci (dram), Wyne Zulqarnain (bass) dan Hazel Zukifle (vokalis). Mereka sebelum ini bersama-sama dalam kumpulan Johor Musical Force (JMF).
“Lagu-lagu yang aka dibawakan adalah legasi terkini seperti Qalbu Dari Timur, Merebut Waktu Yang Ketinggalan, Instrumental Baroque Paradigma, Lanun Johor, Warrior dan Southern Tiger,” ujarnya.
Bagi sesi kedua, katanya, diteruskan dengan persembahan bersama-sama Burnmark yang akan membawa lagu-lagu malar segar mereka antaranya Secebis Rayuan dan Bunga Pusara selain lagu saduran Ribut yang pernah dipopularkan kumpulan Sweet Charity.
“Sementara sesi ketiga pula adalah persembahan instrumental iaitu permainan gitar solo neo klasikal dengan dibantu pemuzik undangan iaitu boy (bass) dan Shari (dram),” ujarnya.
Joe berkata, konsert itu sudah dirancang sejak dua tahun lalu termasuk mengumpul semua lagu-lagu yang bersesuaian untuk dipersembahkan termasuk memantapkan kemahiran sedia ada.
Tambah anak kelahiran Labis itu, konsert berkenaan menyasarkan 500 penonton dengan menawarkan harga tiket yang boleh dianggap kontroversi iaitu RM35.
Ditanya sebab mengadakan konsert itu di daerah itu, Joe yang kini menetap di Kuala Lumpur berkata, Segamat adalah tempat bersejarah bagi Burnmark.
“Segamat adalah tempat sejarah di mana bermulanya perjuangan saya dalam industri muzik dan juga merupakan satu titik mula untuk menjelajah kembali ke dunia persembahan ke seluruh negara selepas ini,” jelasnya.
Burnmark ditubuhkan pada 1982 di Segamat sebelum nama mereka mula dikenali selepas menjuarai pertandingan Juara-Juara Rock 1984 di Johor Bahru.
Joe kemudian bersama-sama anggota Burnmark seperti Jefri, Zainal, Amy dan Din Hamid muncul dengan lagu ciptaan sendiri iaitu Secebis Rayuan dalam kompilasi album Juara Juara rock 1 pada 1987.
Burnmark kemudian menghasilkan album berjudul Burnmark’s pada 1988 dan Opera Sang Bara (1989) sebelum menukar nama kumpulan kepada Naja serta menghasilkan album Asmara (1990) yang popular dengan lagu Bunga Pesona.
Joe kemudian bergerak solo sebagai pemain gitar dan sempat menghasilkan album Jasad Liar pada 1990 sebelum menyertai kumpulan Jasad Liar.
Kerjayanya dalam bidang muzik bertambah serius apabila turut terlibat sebagai penyanyi, penerbit, pencipta lagu, pemuzik undangan dan penulis lirik dengan menggunakan nama Joe Burnmark. – MalaysiaGazette
















