KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dengan kerjasama Bahagian Kecemerlangan dan Profisionalisme (BCP) menganjurkan Program Jerayawara Jelajah Integriti SPRM Kedah 2025 di Pejabat SPRM Anak Bukit hari ini.
Program yang dianjurkan itu menjadi platform strategik memperkukuh budaya kerja yang berintegriti serta memastikan kesiapsiagaan mental dan fizikal warga kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, penganjuran program itu merupakan langkah pencegahan dan kawalan dalaman bagi memastikan pegawai sentiasa berdisiplin.
“Kita tidak perlu menunggu berlaku kejadian perlanggaran peraturan untuk bertindak. Langkah pencegahan dan peringatan sebegini lebih penting dalam memastikan tahap disiplin, kesihatan mental dan produktiviti pegawai sentiasa berada pada tahap terbaik.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nazli, program yang sama menampilkan tiga modul utama iaitu integriti dan agama, psikologi serta tatatertib yang masing-masing memberi penekanan kepada nilai agama, pegurusan emosi dan pematuhan etika kerja.
Selain itu, ujian saringan air kencing turut dijalankan kepada pegawai-pegawai bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah dan ketum selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan fizikal serta mental.
Program itu juga menyokong aspirasi Program Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan pembudayaan nilai murni dalam masyarakat.
SPRM Kedah menegaskan, komitmennya untuk terus memperkasa intergriti, profesionalisme dan kesejahteraan warga kerja demi menjunjung amanah negara. – MalaysiaGazette
















