Gambar hiasan

KLUANG – Seorang bekas pemandu bas di Singapura berputih mata selepas wang simpanan RM736,526 lesap diperdaya dalam skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semuanya bermula selepas mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApps daripada seorang individu tidak dikenalinya pada 10 Ogos lalu.

“Tertarik dengan janji akan menerima pulangan lumayan melalui pelaburan yang disertai, mangsa mula memasukkan wang selepas menyertainya dalam laman sesawang diberikan oleh individu tersebut.

“Bermula 8 hingga 6 September lalu, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM736,526 melalui lima akaun bank berbeza secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, hasil pelaburan itu mangsa mendapati dirinya memperolehi keuntungan sebanyak RM5,702,110.73 sebelum berhasrat untuk mengeluarkannya.

Bahrin berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam selepas merasakan dirinya tertipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang keuntungan pelaburan itu.

Ujarnya, warga emas tersebut enggan membuat pembayaran tambahan menyebabkannya tidak mendapat sebarang keuntungan manakala duit pelaburan tidak dipulangkan.

Akibat daripada kejadian itu katanya, mangsa rugi RM736,526, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dan hendaklah menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan bagi mengelakkan ditipu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast