Ling Tian Soon

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM736,000 untuk peralatan pengkelasan peta mikrozonasi seismik yang berfungsi mengenal pasti impak gegaran akibat gempa bumi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, peralatan tersebut penting bagi membolehkan kajian serta data diperoleh secara lebih tepat dan menyeluruh kesan daripada bencana alam tersebut.

Menurutnya, alat tersebut akan digunakan di Segamat bermula awal tahun depan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Peralatan peta mikrozonasi seismik bergerak ini mampu mengkaji daya tahan gegaran terhadap sebahagian tanah dan bangunan susulan kejadian gempa bumi di Segamat.

“Usaha ini penting untuk memastikan kemungkinan gegaran pada masa hadapan dapat dikenal pasti melalui kajian serta data yang lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Johor 2026 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu antara langkah permulaan dilakukan kerajaan negeri dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana itu.

Langkah tersebut katanya, susulan beberapa kali gempa bumi berlaku khususnya di Segamat.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan untuk peralatan berkenaan di bawah teras kelima yang membabitkan usaha mengurangkan risiko bencana.

Sejak 24 Ogos, sebanyak tujuh gempa bumi lemah direkodkan di Johor dengan gegaran pertama di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 skala Richter pada pagi hari sama, selain 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4), 30 Ogos (2.7) dan 3 Nov (2.7).

Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil susulan bencana itu dari 24 hingga 30 Ogos, dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000.

Laporan itu hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 September, ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah dan kuarters kerajaan.& MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast