JOHOR BAHRU – Belanjawan Johor 2026 didakwa tidak menyelesaikan masalah rakyat bagi jangka masa panjang malah tidak selari dengan realiti masa kini.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, sekadar menyalurkan bantuan one-off tidak memadai sedangkan keadaan dihadapi rakyat ketika ini amat membebankan.
“Kerajaan negeri seharusnya menumpukan perhatian kepada dasar yang bersifat pemberdayaan rakyat (empowerment) dan bukan sekadar bantuan tunai sementara yang tidak menyelesaikan akar masalah.
“Johor perlu memperkukuh dasar pembangunan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada latihan kemahiran dan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ianya perlu berasaskan keperluan industri sebenar, memperluas sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji wajar untuk anak muda tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, Pejuang Johor juga menekankan keperluan untuk meningkatkan pembangunan rumah mampu milik supaya golongan B40 dan M40 dapat memiliki kediaman sendiri.
Begitu juga, katanya, bagi memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada projek mewah atau bandar utama.
Pada masa yang sama, beliau berkata, isu kesihatan masyarakat mesti diberi perhatian serius terutama dengan banyak hospital dan fasiliti kesihatan yang masih belum siap atau beroperasi di Johor.
Akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti dan mudah dicapai adalah hak rakyat yang mesti dipenuhi, tegasnya.
Selain itu kata Suraya, Pejuang Johor menegaskan bahawa setiap syarikat berskala besar yang mempunyai bilangan pekerja ramai wajib membuka kemudahan taska di premis mereka bagi memudahkan pekerja khususnya ibu bapa muda untuk bekerja dengan lebih produktif dan selesa.
Dasar itu menurutnya, bukan sahaja akan membantu kesejahteraan keluarga pekerja, tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi negeri secara lebih menyeluruh.
“Pelaburan besar yang diumumkan kerajaan negeri perlu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Johor sendiri, bukan hanya kepada pelabur luar.
“Pelaburan yang membawa nilai tambah tempatan dan membuka peluang pekerjaan berkualiti mesti menjadi keutamaan agar kemakmuran negeri dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap perbelanjaan negeri.
“Setiap sen wang rakyat perlu dibelanjakan secara berhemat, boleh diaudit dan dilaporkan secara terbuka agar tidak timbul persepsi pembaziran atau salah guna sumber negeri,” katanya.
Tumpuan utama katanya, mesti terhadap kesejahteraan rakyat, bukannya kepada projek-projek imej atau kepentingan politik.
Pihaknya percaya bahawa kejayaan sebenar sesebuah belanjawan bukan diukur pada jumlah lebihan atau angka pertumbuhan, tetapi pada sejauh mana kehidupan rakyat bertambah baik.
Beliau menewaskan, kekayaan Johor mesti dikongsi secara adil dan dirasai semua dan bukan hanya segelintir pihak.
“Johor tidak boleh hanya membangun pada statistik dan bangunan megah, tetapi mesti memastikan rakyat di bandar mahupun luar bandar menikmati hasil negeri yang makmur ini.
“Kesejahteraan rakyat Johor mesti menjadi ukuran sebenar kejayaan belanjawan negeri, bukan sekadar angka surplus yang disebut di dewan,” katanya.
Ujarnya, apabila bajet negeri itu diumumkan dan mendakwa merupakan belanjawan lebihan dan tertinggi dalam sejarah negeri, muncul persoalan yang wajar diajukan kepada kerajaan Johor.
“Sejauh mana rakyat benar-benar merasai hasil kemakmuran ini dalam kehidupan seharian mereka,” soalnya.
Pejuang Johor jelasnya, berpandangan bahawa belanjawan yang digelar surplus dan angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak membawa makna jika rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barangan tidak terkawal serta peluang pekerjaan terhad.
“Realitinya, ramai rakyat biasa masih bergelut untuk meneruskan kehidupan, sementara angka-angka indah ini hanya menghiasi laporan belanjawan di atas kertas,” katanya.- MalaysiaGazette















