MELAKA – Seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut disambar petir ketika melakukan kerja-kerja di atas bumbung sebuah rumah di Lorong Utama 16, Taman Ayer Keroh Height, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 20 tahun dipercayai berada di atas bumbung semasa cuaca tidak hujan sebelum petir menyambar kawasan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati benar terdapat seorang lelaki warga Bangladesh disambar petir ketika membuat kerja-kerja pembinaan di atas bumbung.
“Anggota bomba berjaya membawa turun mangsa dari bumbung sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mayat kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi melibatkan enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil
ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.42 petang. – MalaysiaGazette
















