PENDIDIKAN prasekolah yang berkualiti tidak hanya bergantung kepada kurikulum yang mantap dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Pendidikan prasekolah juga menuntut kerjasama erat antara guru, ibu bapa atau penjaga serta komuniti setempat untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran yang dinamik, selamat dan bermakna.
Kurikulum Prasekolah 2026 akan mula dilaksanakan bagi menggantikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) mulai Januari 2026.
Kurikulum ini bermatlamat untuk melahirkan murid yang sihat dalam aspek fizikal, mental dan kerohanian, boleh berkomunikasi dan bersosialisasi, berkeyakinan diri dan memiliki keinginan untuk belajar. Pelaksanaan kurikulum ini penting untuk memastikan pendidikan prasekolah berkualiti, relevan dan responsif terhadap keperluan semasa serta aspirasi negara.
Tegas KPM, kejayaan kurikulum ini bergantung kepada komitmen penuh dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi pelaksana, pemimpin kurikulum, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain.
Sehubungan itu, KPM menyarankan kerjasama dan pelibatan aktif ibu bapa atau penjaga supaya memahami keperluan anak sejak awal dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk tumbesaran dan pembelajaran.

Sebagai individu yang paling hampir dengan anak dari segi emosi, sosial dan intelek, ibu bapa atau penjaga boleh memberi sokongan untuk meningkatkan perkembangan anak secara menyeluruh.
Ini termasuk tindakan untuk mengesan dan menangani kelewatan perkembangan anak sekiranya wujud.
Di samping itu, kerjasama dan pelibatan ibu bapa atau penjaga penting untuk mewujudkan kesinambungan pembelajaran dari sekolah ke rumah dan sebaliknya, selain menyediakan ruang belajar yang kondusif dan memberi dorongan untuk belajar secara berterusan.
Sokongan yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga seperti galakan, pujian dan kata-kata semangat dapat meningkat motivasi dan keyakinan diri anak dalam pembelajaran.
Ibu bapa adalah guru pertama dalam kehidupan anak-anak, justeru adalah penting untuk mereka menyedari betapa signifikannya pelibatan dan sokongan berterusan dalam perkembangan holistik anak-anak dari aspek emosi, fizikal dan sosial.
Contohnya, amalan membaca bersama antara ibu bapa dan anak di rumah wajar diperkukuhkan dan dijadikan rutin. Ibu bapa boleh memainkan peranan aktif bukan sahaja sebagai model pembacaan, tetapi juga sebagai rakan bercerita, terutamanya melalui aktiviti bercerita sebelum tidur.
Peranan ibu bapa dalam memastikan kesinambungan pembelajaran dari sekolah ke rumah juga sangat kritikal pada peringkat awal kanak-kanak. Sebagai contoh, di prasekolah, murid dididik dan diberi tugasan semasa waktu rehat, seperti menyediakan makanan, menyiapkan meja makan, mengamalkan adab makan, membersihkan pinggan mangkuk selepas makan. Proses ini berfungsi sebagai peluang pembentukan karakter yang bernilai. Nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan berdikari disemai dalam proses pembelajaran semasa waktu rehat. Sekiranya ibu bapa dapat menggalakkan dan memastikan amalan ini berterusan dari sekolah ke rumah, maka ini dapat membantu mengukuhkan internalisasi nilai-nilai yang dipelajari di sekolah.
Ibu bapa merupakan orang tengah antara murid dan guru. Ibu bapa berperanan penting untuk memberi maklumat penting tentang anak mereka. Maklumat seperti latar belakang keluarga, tabiat anak atau sebarang keperluan khas amat membantu para guru untuk menyediakan PdP yang lebih berkesan. Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga perlu menjadi rakan kongsi yang baik dengan guru dalam usaha membangunkan potensi murid.
Interaksi berkesan ini boleh dilakukan melalui pelbagai medium komunikasi seperti buku komunikasi, aplikasi media sosial atau perjumpaan bersemuka dengan pihak sekolah. Tambahan lagi, guru prasekolah boleh menjadi pemudah cara komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga.

Guru bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada ibu bapa atau penjaga, malah turut mendengar serta menyalurkan pandangan ibu bapa kepada pihak sekolah. Kerjasama ini penting untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang positif dan menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.
Guru prasekolah juga boleh berfungsi sebagai pendidik kepada ibu bapa atau penjaga. Guru prasekolah boleh berkongsi ilmu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak, kepentingan pembelajaran dan cadangan aktiviti yang boleh dilaksanakan di rumah.
Semasa proses berkongsi ilmu, guru juga dapat memainkan peranan sebagai agen atau pendorong untuk menggalakkan ibu bapa melibatkan diri dalam pelbagai program prasekolah, seperti hari sukan, gotong-royong, lawatan sambil belajar ataupun menjadi pencerita jemputan di dalam kelas prasekolah.
Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara rumah dan sekolah, malah turut memberi peluang kepada anak untuk berbangga dengan penglibatan ibu bapa mereka.
Melalui kolaborasi ini, ibu bapa dan guru dapat bersama-sama membina asas pembelajaran yang kukuh dan bermakna untuk anak-anak. Justeru, kerjasama erat antara guru dan ibu bapa penting bagi mewujudkan persekitaran yang konsisten dan menyokong, seterusnya melahirkan generasi yang bukan sahaja sihat fizikal, tetapi juga memiliki jati diri yang bertanggungjawab, bersopan santun dan mampu mengurus diri secara mandiri. -MalaysiaGazette
















