JOHOR BAHRU – Tular kejadian pergaduhan antara seorang wanita dan lelaki dipercayai berebut untuk menaiki bas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini sejak kelmarin.
Video berdurasi 14 saat itu dimuat naik pengguna pada pukul 11.50 malam kelmarin dengan kapsyen dalam bahasa Mandarin yang bermaksud berebut naik bas sehingga bergaduh.
Dalam video itu menunjukkan orang ramai berkumpul melihat insiden pergaduhan mereka yang saling tolak-menolak di kawasan pagar laluan masuk menuju ke bas dipercayai berlaku pada waktu malam, di lokasi yang menjadi laluan utama keluar masuk antara Malaysia dan Singapura.
Situasi tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, yang menggesa agar pihak berkuasa serta operator pengangkutan memperkemas sistem kawalan penumpang bagi mengelakkan kejadian sama berulang, terutama pada waktu puncak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung insiden berkenaan.
Katanya, pihak polis menerima rakaman tular itu kira-kira pukul 5.30 petang semalam menerusi pautan dimuat naik dalam Facebook.
“Pihak polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat, saksi kejadian serta punca sebenar insiden.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.- MalaysiaGazette
















