Allex (tengah) melihat minyak masak peket bersubdisi yang dijual di sebuah pasar raya di Cheng menggunakan aplikasi eCOSS hari ini.

MELAKA – Penggunaan aplikasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) berjaya mengurangkan sehingga 70 peratus ketirisan minyak masak bersubsidi termasuk oleh warga asing dan pembelian pukal yang tidak munasabah.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Allex Seah Shoo Chin, berkata, data awal itu adalah hasil dapatan daripada sebuah pasar raya terkenal di Cheng sejak aplikasi itu diperkenalkan Ogos lalu.

“Sebagai contoh, pasar raya besar berkenaan sebelum ini menjual sehingga 1,000 kotak sehari, namun selepas eCOSS dilaksanakan, angka itu (mencukupi untuk rakyat) kepada hanya sekitar 300 kotak sahaja.

“Ini sekali gus menandakan pengurangan ketirisan dan salah guna barang kawalan bersubsidi ini,” katanya.

Allex Seah Shoo Chin

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ekpedisi 2 Roda Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Pelaksanaan Aplikasi eCOSS di sebuah pasar raya di Cheng di sini hari ini. Hadir sama Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin.

Mengulas lanjut, Allex berkata, setakat 31 Oktober lalu, seramai 12,700 pengguna di Melaka sudah mendaftar eCOSS sekali gus menunjukkan penerimaan baik rakyat terhadap sistem berkenaan.

“Sebenarnya, sistem ini bukanlah sekadar merekodkan pembelian, tetapi turut memastikan kuota minyak masak bersubsidi sentiasa mencukupi.

“Hanya pengguna yang mempunyai Mykad dibenarkan membeli maksimum tiga paket setiap transaksi melalui imbasan aplikasi di telefon pintar mereka yang secara tidak langsung mengekang pembelian oleh warga asing,” katanya.


Ekspedisi 2 Roda PJRM menyaksikan seramai 52 pemilik motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam konvoi ke seluruh Melaka bagi mempromosikan penggunaan aplikasi eCOSS di 20 buah pasar raya.

Namun, jelasnya bagi pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar atau mempunyai masalah teknikal lain, rekod pembelian masih boleh dibuat secara manual di premis pasar raya.

“Justeru, saya menasihatkan peniaga supaya tidak menjadikan ini alasan untuk tidak menjual minyak peket bersubsidi kepada rakyat namun pada masa kita galakkan pengguna supaya menormalisasikan penggunaan sistem ini.

“Jika ada peniaga enggan menjual dengan alasan pelanggan tiada eCOSS, itu menyalahi arahan kerana tujuannya adalah kita mahu sistem ini untuk kawalan dan memantau, bukan menyusahkan rakyat,” katanya.

Allex berkata, setakat ini, terdapat kira-kira 20 pasar dan pasar raya di Melaka sudah mula menggalakkan pelanggannya menggunakan aplikasi itu.

Ekspedisi 2 Roda PJRM menyaksikan seramai 52 pemilik motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam konvoi ke seluruh Melaka bagi mempromosikan penggunaan aplikasi eCOSS di 20 buah pasar raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast