Atu Zero akan membawa dan memberi roti dari Semenanjung apabila pulang ke Sabah kepada kanak-kanak di setempat.

KUALA LUMPUR – Pelawak terkenal tanah air, Atu Zero, meluahkan rasa terkilan terhadap kenyataan seorang pemimpin politik dari Kedah yang mengaitkan sokongan rakyat Sabah dengan pemberian roti.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif berkata, ucapan tersebut telah mengguris perasaan penduduk di Sabah termasuk beliau sendiri yang sering membawa roti Gardenia dari semenanjung untuk berkongsi di sana.

Menurutnya, amalan itu hanyalah satu bentuk pemberian kecil yang dilakukan bersama dengan isterinya kerana kanak-kanak di situ suka akan roti tersebut termasuk golongan dewasa.

“Tapi bila ada orang dewasa yang mengatakan benda yang tidak sepatutnya, hati kecil ini terguris dengan kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut bijak pandai.

“Saya boleh maafkan kamu tapi bagaimana dengan yang saudara-saudara lain yang masih terasa dengan kenyataan sedemikian,” katanya dalam hantaran di akaun rasmi miliknya di Instagram, semalam.

Dalam pada itu, Atu tetap bersifat positif apabila menyelitkan gurauan di hantarannya.

“Selalu saya nasihat dekat anak-anak saya, jangan merendahkan orang lain, lagi-lagi yang tingginya 198 sentimeter (cm),” tulisnya berseloroh.

Terdahulu, media melaporkan mengenai seorang pemimpin politik yang memberikan ucapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengatakan bahawa ‘Orang Sabah itu, kempen dia beri roti Gardenia saja’.

Bagaimanapun, pemimpin terbabit telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut selepas mendapat kritikan kerana dianggap seperti merendah-rendahkan orang Sabah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast