KUALA LUMPUR – Bantuan Kasih Johor (BKJ) atau BKJ Anak Yatim Negeri Johor dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak RM2,000 yang diumum menerusi Belanjawan 2026 bukti kerajaan negeri itu mengambil berat aspek pendidikan khususnya membela nasib anak yatim.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, insiatif tersebut dalam masa yang sama dilihat berpotensi memperkukuh ekosistem pendidikan negeri itu melalui pendekatan inklusif.
Ujarnya, usaha itu dalam masa yang sama bukan sekadar membantu golongan pelajar tetapi juga menggalakkan budaya menabung untuk kegunaan masa depan pendidikan anak-anak.
“Usaha menyalurkan sebahagian bantuan BKJ melalui akaun Simpan SSPN di bawah PTPTN secara tidak langsung menyokong agenda kerajaan dalam memperkasakan amalan perancangan kewangan pendidikan di peringkat awal usia,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berharap, langkah itu akan dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang kurang bernasib baik dan membantu mereka untuk fokus sepenuhnya kepada pembelajaran.
Terdahulu katanya, PTPTN menyambut baik pengumuman inisiatif di bawah Belanjawan Johor 2026 dan merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.
” Saya menyeru kerajaan negeri dan agensi lain turut menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif di dalam Belanjawan dan program-program utama kerajaan negeri dan agensi untuk manfaat rakyat pada hadapan sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor ini,” tambah beliau lagi.
Sebagai info, Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Ghazi bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.
BKJ Anak Yatim Johor diumum dalam bentuk tunai dan Simpan SSPN sebanyak RM2,000 seorang yang akan memanfaatkan seramai 12,307 anak yatim dengan jumlah peruntukan RM24.6 juta.
Penyaluran bantuan akan dilaksanakan dalam tiga fasa pembayaran, iaitu RM300 pada Disember 2025 dan RM300 pada Februari 2026.
Manakala baki RM1,400 akan disalurkan melalui akaun Simpan SSPN bagi tujuan simpanan pendidikan masa hadapan.-MalaysiaGazette
















