KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Program Sinergi MyWaza Siri Kedua menyantuni golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini, baru-baru ini.
Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Digital PPZ-MAIWP, Nur Haliza Abd Rahman berkata, kerjasama dua agensi itu bertujuan untuk menangani permasalahan golongan sasar melalui perkongsian data secara berpusat dalam sistem portal MySynergy PERKESO.
“Program sosial sinergi ini untuk menyantuni asnaf-asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan bagi memberi sumbangan secara holistik kepada masyarakat terutamanya golongan B40 atau miskin bandar.

“Menerusi MyWAZA, iaitu wakalah zakat bersama Sosial Sinergi PERKESO berkolaborasi dengan agensi ini untuk menyantuni asnaf-asnaf yang sebenarnya mencarum dengan PERKESO pada mulanya.
“Kemudian apabila ada asnaf yang tidak dapat dibantu kerana tidak cukup syarat kelayakan permohonan dan dari situ PERKESO berkolaborasi dengan PPZ-MAIWP,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.
Terdahulu beliau bersama Skuad Jejak Asnaf MAIWP, Ishak Zulkifly dan Timbalan Pengarah PERKESO KL, Harun menyantuni seorang asnaf yang juga pencarum PERKESO, Muhammad Noor Ridzuan Abd Rahim, 29, yang diserang angin ahmar akibat saluran darah di kepala pecah, awal tahun ini.
Akibat bencana itu, asnaf tersebut yang mempunyai tiga cahaya mata dan seorang isteri kini terlantar dan sedang mendapatkan rawatan di wad neurosurgery di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam program tersebut, PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah menyerahkan sumbangan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000; bantuan barangan dapur bagi tempoh tiga bulan bernilai RM1,000 serta sumbangan tablet bagi kegunaan isteri untuk rekaan grafik bagi menambah pendapatan dengan kemahiran yang ada.
Manakala Harun yang wakili PERKESO pula menyerahkan sumbangan kewangan secara one-off berjumlah RM1,000; kotak prihatin PERKESO bernilai RM150, hamper kepada anak-anak pemohon berjumlah RM150.
Turut diserahkan Caruman Lindung Kasih (Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah SKSSR) kepada isteri dan mak mertua pemohon.

Selain itu, kata Nur Haliza, bagi meringankan beban isteri asnaf terbabit, Shafiqa Aniera Shadi, 28, MAIWP menyalurkan beberapa peruntukan termasuk bantuan sara hidup berjumlah RM500 sebulan sejak Januari 2025.
“MAIWP juga menyalurkan bantuan barangan dapur Boost sebanyak RM300 sejak Februari 2025 serta bantuan perubatan, pampers size L Tena PROskin berjumlah RM528 sebulan sejak Julai 2025.
“Turut disalurkan bantuan susu Niva Activmax Fos 400g berjumlah RM2,135 sebulan bermula Mei 2025.
“Asnaf ini yang sebelum ini bekerja sebagai rider Grab Food dan Shopee turut menerima bantuan penjagaan pesakit kronik terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan sejak Julai 2025,” katanya.
Ditanya mengenai bantuan tablet daripada PPZ-MAIWP, Nur Haliza berkata, ia sebagai galakan moral dan semangat kepada isteri asnaf terbabit yang kini bekerja sendiri dari rumah dengan mengusahakan reka bentuk grafik sebagai sumber pendapatan beliau.
“Puan Shafiqa sendiri kini menjadi tulang belakang keluarga ini setelah terjadinya bencana yang menimpa Encik Ridzuan untuk membantu menyara keluarga dan demi kelangsungan tiga anak-anak mereka yang masih kecil.

“Kita lihat Puan Shafiqa lebih cenderung membuat reka bentuk untuk cetakan merchandise dan untuk dijual secara kecil-kecilan yang mendapat sambutan dan guru-guru di sini memberi peluang kepada beliau untuk membuat reka bentuk.
“Kita nampak potensi isterinya dan kita sokong dengan memberikan tablet supaya kelangsungan beliau melaksanakan kerja yang disukai di samping menjaga keluarga tadi dapat dilaksanakan,” katanya.
Selain sumbangan tersebut, hasil program ziarah asnaf tersebut mendapati keluarga itu memerlukan khidmat ambulans bagi menguruskan penghantaran suaminya ke hospital dan Pusat Rehabilitasi PERKESO bagi tujuan rawatan dan pemulihan.
“Bila kita datang buat kunjungan kepada Puan Shafiqa, kita dapati banyak keperluan yang diperlukan selain daripada apa yang dibantu oleh pihak MAIWP yang merupakan agensi mengagihkan zakat di Wilayah Persekutuan.
“Puan Syafiqah menghadapi kesukaran membawa suami ke hospital untuk mendapatkan rawatan, hingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk membawa suaminya rumahnya dari tingkat enam PPR Jelatek dan menyewa Grab.
“Jadi PPZ sebenarnya boleh melihat ruang-ruang ini untuk membantu Puan Shafiqa dengan mendapatkan perkhidmatan ambulans dengan kerjasama rapat bersama agensi lain.
“Walaupun PPZ ini agensi mengutip zakat, tetapi pembayar-pembayar zakat kami terdiri daripada syarikat-syarikat, majikan dan juga individu yang mempunyai perniagaan serta kepakaran untuk membantu asnaf secara one-off bukan hanya sekadar zakat, tetapi melalui latihan skill dan keperluan semasa” katanya.

Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP, Ishak Zulkifly bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada pemohon, Muhammad Noor Ridzuan Abd Rahim, 30 ketika di 9-6-18, Flat PPR Jelatek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2025.Ishak yang mewakili MAIWP pula berkata, pihaknya sedia menawarkan bantuan perniagaan kepada isteri asnaf terbabit bermula dari RM5,000 hingga RM30,000 untuk mengembangkan perniagaannya walaupun diusahakan dari rumah.
“Kami minta Puan Shafiqa, kalau ada kemahiran untuk mengusahakan sesuatu dari rumah, Insya-Allah kemahiran itu boleh dikembangkan dan MAIWP akan cuba bantu melalui bantuan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, isterinya ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, pada mulanya dia agak sukar menerima hakikat suaminya diserang angin ahmar, dengan bantuan dan sokongan PPZ-MAIWP dan PERKESO kini dia boleh menarik nafas lega.
“Mula-mula saya rasa macam agak susah nak terima, anak-anak pula masih kecil lagi, bila dia sudah jatuh (sakit), kita kena fikir macam mana nak cari duit, nak bayar komitmen itu dan ini.
“Bila ada orang cadangkan saya untuk mohon bantuan daripada agensi-agensi ini, baru rasa kurang sikit beban dan selepas itu saya mula buat kerja sambilan dari rumah untuk tambahan pendapatan.
“Saya buat reka bentuk (grafik), usahakan pusat pengumpulan parcel SPX Shopee, pelanggan datang rumah ambil barang mereka, jual kek batik,” katanya.

Ditanya tentang tawaran MAIWP mengenai bantuan perniagaan, Shafiqa berkata, dia belum bersedia ke arah itu, dan buat masa ini dia perlu fokus untuk menjaga keluarga dan merawat suami yang terlantar.
“Alhamdulillah sekarang fizikal suami nampak okay, cuma mental dia lagi masih belum okey lah, dia macam ke arah budak-budak lagi, dia nak kena masuk wad dekat rehab untuk belajar cakap semula, kembalikan memori dia.
“Kalau perniagaan macam jual-jual nasi (makanan), saya rasa kena bagi masa dulu dengan suami, dengan anak-anak masih kecil, buat design ini atas diri saya, bila saya lapang, sambil-sambil baring atau tengok tv pun saya boleh buat.
“Saya takut saya tak ada masa untuk suami dan anak-anak, mungkin bantuan perniagaan itu boleh difikirkan kemudian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















