Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak wajar dipendekkan tanpa alasan kukuh oleh Kerajaan Persekutuan.

Sambil melahirkan rasa hairan dengan keputusan itu, beliau turut menggesa kerajaan memberi penjelasan mengapa `angguan’ dalam pentadbiran ibu kota tersebut berlaku dan mengapa ia dililhat begitu mendesak.

Tambahnya yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, isu itu turut menunjukkan keperluan kepada reformasi terhadap bagaimana ibu kota wajar ditadbir.

“Buat masa ini, warga kota langsung tidak mempunyai suara dalam pentabdiran Kuala Lumpur dengan kuasa hanya tertumpu di tangan seorang Datuk Bandar yang lazimnya dilantik daripada kalangan penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan video di laman sosial Facebook beliau.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan, tempoh perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat pada 15 Ogos 2026 dipendekkan kepada 14 November lalu.

Menurut beliau, pemendekan tempoh perkhidmatan Maimunah itu adalah bagi memberi ruang kepada beliau untuk ditempatkan di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi nasional yang diberi peranan untuk membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.

Maimunah kemudiannya diumumkan dilantik sebagai Penasihat Hartanah kepada Petronas berkuat kuasa esok.

Sementara itu, menyentuh isu sama, Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau masih tegas dengan pendirian supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dikembalikan.

Ujarnya, ia dilihat sebagai langkah untuk memastikan adanya kebertanggungjawaban dan prestasi yang lebih baik dalam tadbir urus ibu kota Kuala Lumpur yang sebenarnya sudah mencapai status maju.

Sementelah, tambah beliau, manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu turut menekankan pengukuhan penyertaan rakyat dalam pendemokrasian bagi DBKL, sekali gus peru perlu direalisasikan.

Tegas beliau, alasan bahawa pilihan raya PBT boleh mencetuskan ketegangan kaum adalah dakwaan tidak berasas dan merupakan isu lama yang diulang-ulang.

“Ramai tidak sedar hari ini masyarakat bumiputera merupakan kelompok terbesar di ibu kota.

“Hampir separuh daripada jumlah penduduk yang ada di Kuala Lumpur adalah bumiputera, maka tidak ada alasan munasabah untuk kita terus menangguhkan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast