KUALA LUMPUR – Taksiran kerugian RM1.57 bilion direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini disebabkan oleh kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah kerugian yang terlalu tinggi itu berlaku meskipun anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bertungkus-lumus menjalankan pelbagai inisiatif pencegahan di seluruh negara.
“Jumlah kerugian yang tinggi itu direkodkan walaupun anggota JBPM bertungkus-lumus menjalankan pelbagai usaha termasuk pencegahan kebakaran.
“Oleh itu, kita memerlukan usaha yang lebih gigih lagi bagi membendung kebakaran daripada terus berlaku,” katanya dalam ucapan sempena majlis Sentuhan Kejayaan Menteri KPKT di Pusat Operasi K9 Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Kor Ming menambah, JBPM sedang dalam proses menggantikan 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang berusia lebih 20 tahun dengan 30 unit baharu.
Langkah itu sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan aset jabatan itu bagi menghadapi kebakaran terutama musim Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.
Kata Kor Ming, penggantian tersebut dilaksanakan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat CLW Automobile Malaysia dengan nilai keseluruhan mencecah RM45 juta dan setakat ini, dua unit FRT telah diterima.
“Inisiatif berimpak tinggi ini dilihat mampu meminimumkan kerosakan jentera, mengurangkan kos pembaikan aset lama serta menjamin ketersediaan jentera bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat,” katanya lagi.
Kor Ming berkata, kementerian itu yakin jabatan berkenaan sudah bersedia menghadapi sebaran kemungkinan banjir akibat MTL.
Beliau berkata, persiapan itu merangkumi latihan simulasi, kesiapsiagaan anggota dan aset, penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pengukuhan pusat kawalan operasi bagi memastikan respons yang lebih cekap.
“KPKT turut menekankan kepentingan koordinasi strategik antara semua agensi, termasuk jabatan-jabatan di bawah kementerian ini dalam menghadapi cabaran sebelum, semasa dan selepas bencana.
“Seperti tahun 2024, KPKT komited untuk terus menggerakkan Skuad Ihsan Madani bagi melaksanakan misi kemanusiaan semasa banjir serta kerja-kerja pembersihan pasca banjir kelak,” katanya. – MalaysiaGazette
















