Tunku Nashrul Tunku Abaidah

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan penting ke benua Afrika merangkumi tiga buah negara yakni Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya pada 18 – 24 November 2025.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu akan turut disertai delegasi rasmi dan rombongan perniagaan Malaysia bertujuan memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika.

Katanya, ketiga-tiga pasaran tersebut menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.

“Lawatan rasmi ke Ethiopia dan Kenya dan lawatan kerja ke Afrika Selatan ini akan menggunakan penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines, membawa bersama delegasi rasmi dan rombongan perniagaan Malaysia.

“Penglibatan perniagaan dalam lawatan ini adalah untuk memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Tunku Nashrul berkata, lawatan pertama Perdana Menteri adalah di Addis Ababa, Ethiopia pada 18 hingga 20 November bagi memperkasa jalinan kerjasama Afrika-Asia.

Anwar katanya, akan memulakan lawatan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia- Ethiopia untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.

Kemudian, tumpuan akan diberikan kepada pertemuan bersama Perdana Menteri Dr. Abiy Ahmed Ali, di mana perbincangan dua hala akan menata agenda kerjasama strategik, disusuli dengan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU).

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, serta menyampaikan Syarahan Umum kepada belia Afrika yang dianjurkan bersama rakan-rakan strategik belia, sebagai platform memperkukuh hubungan belia Afrika–Asia.

Perdana Menteri kemudiannya akan ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 dan Aspirasi Selatan Global.

“Kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan merangkul suara 650 juta rakyat ASEAN dan mewakili aspirasi rantau Asia Tenggara dalam isu- isu berkepentingan,” katanya lagi.

Di samping Persidangan G20 dan pertemuan bersama Presiden Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri dijadualkan untuk menghadiri forum perniagaan bersama pemain industri Afrika Selatan dan juga akan berdialog bersama pemimpin komuniti Islam setempat dan menyantuni warga Malaysia di Afrika Selatan.

Pada 23-24 November pula, Anwar akan ke Nairobi, Kenya dan dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala bersama Presiden Kenya, William Samoei Ruto dan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).

Perdana Menteri turut akan menyampaikan ucaptama di Malaysia–Africa Higher Education Forum (MAHEF 2025), menghadiri Forum Perniagaan Malaysia–Kenya, serta beramah mesra bersama diaspora Malaysia dan alumni Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) di Nairobi.

“Insya-Allah, usai lawatan ke tiga-tiga negara tersebut, YAB Perdana Menteri dan delegasi akan berangkat pulang dan tiba di Kuala Lumpur pada tanggal 25 November 2025.

“Kerajaan MADANI menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Ethiopia, Afrika Selatan, dan Kenya ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan, dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dan perjumpaan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast