Muhamad Zambry menerima sijil perakuan halal Jakim daripada Muhyidin Aziz.

KUALA LUMPUR – Richiamo Coffee Sdn. Bhd. telah memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.

Selain itu, tiga cawangan Richiamo Coffee di Taman Velox Rawang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak dan UTMKL Kuala Lumpur, turut menerima pensijilan outlet.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zambry Abu Samah berkata, pensijilan halal untuk tiga cawangan utama ini adalah penting bagi perjalanan Richiamo Coffee selama 10 tahun ini.

“Pensijilan halal Jakim begitu penting dari pengembangan jenama di pasaran tempatan dan membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa,” katanya selepas majlis penyerahan pensijilan halal daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhyidin Aziz @ Saari di sini hari ini.

Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee memberi fokus kepada pensijilan halal ini kerana merancang untuk membawa beberapa produk keluarannya ke luar negara.

Menurutnya, pensijilan halal Jakim adalah yang terbaik dan diperakui serta diterima di seluruh dunia kerana ia bukan mudah untuk diperoleh.

“Ada beberapa produk pra campuran (premix) kami telah pun mendapat pensijilan halal dan mula dieksport ke luar negara seperti di Timur Tengah, namun ada beberapa produk baharu masih di dalam ujian dan pemeriksaan Jakim bagi tujuan kelulusan,” tambahnya.

Bagi memberi fokus kepada pensijilan halal ini, Richiamo Coffee sudah memiliki eksekutif halal sendiri bagi memantau serta memeriksa setiap rantaian bekalan yang dibekalkan kepada pembekal.

“Kita baharu sahaja membuka cawangan di Phnom Penh minggu lepas dan pensijilan halal ini amat berguna untuk membawa jenama Richiamo Coffee ke luar negara,” katanya.

Pembukaan cawangan baharu di Pnomh Penh Ahad lepas adalah adalah lanjutan daripada pembukaan beberapa cawangan baharu sebelum ini di Aswara dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast