KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, memorandum Jemaah Menteri berkenaan penubuhannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Dan harapan saya dapat di bawa ke Jemaah Menteri sebelum hujung tahun ini, sejurus itu selepas dapat kelulusan prinsip maka draf RUU dapat dilaksanakan oleh pihak agensi dan harap dapat kita bawa ke Parlimen untuk dibentangkan pada tahun depan,” katanya ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiau-PH) bertanyakan mengenai garis masa penubuhan MTSB, memandangkan ia sudah dicadangkan sejak hampir 11 tahun.
Selain itu, Anthony berkata, model penubuhan lembaga berkenaan juga masih belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun menurutnya, MOT akan menjadikan agensi antarabangsa sebagai rujukan.
“Kira mengambil kira amalan yang terbaik dalam kalangan agensi-agensi tersebut (antarabangsa). Sudah tentu apa juga agensi siasatan sudah tentu ada kebebasannya malah jawatankuasa bertindak (task force) yang kita bentuk sekarang ini pun memang bebas menjalankan apa sahaja siasatan dan syor.
“Daripada segi kementerian, apabila laporan itu disiapkan tidak akan dipinda dan akan dibentangkan secara terbuka seperti yang saya telah laksanakan kita bentang secara umum dan terbuka,” tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan, MOT sedang mempertimbangkan penubuhan MTSB bagi menyiasat kemalangan jalan raya secara khusus.
Beberapa inisiatif akan dilaksanakan untuk memartabatkan profesion pemandu termasuk latihan bagi melahirkan pemandu yang lebih kompeten dan profesional.
Kementerian turut menangani isu kekurangan pemandu bas dan lori dengan usaha meningkatkan gaji serta menapis latar belakang pemandu bagi menjamin keselamatan.- MalaysiaGazette
















