MELAKA – Seorang pengawal keselamatan sekolah yang baharu 11 hari bekerja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki minggu lalu.
Tertuduh, pesara tentera, Ibrahim Dini, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dua bulan ketika kejadian bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan dengan cara memegang dan meramas kemaluan mangsa pada pukul 1.23 tengah hari pada 11 November lalu di dalam tandas murid lelaki di sebuah sekolah menengah dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 ke atas bapa kepada enam anak itu.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Arifin Abdul Wahab memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan dan bakal kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di sekolah sama susulan pertuduhan yang dihadapi.
Hujahnya, tertuduh hanya bergantung kepada pencen kira-kira RM900 sebulan selain dibantu pendapatan isteri yang bekerja dan tinggal bersama ibunya yang berusia 70 tahun.
Selepas prosiding, bapa enam anak itu yang berada di dalam kandang tertuduh menangis teresak-esak sebelum ditenangkan isteri dan peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM9,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Januari depan. – MalaysiaGazette
















