KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) telah mengadakan jalinan kerjasama di tiga universiti utama di Mexico dalam usaha membina jaringan akademik peringkat global.
Kolaborasi itu melibatkan Universidad Nacional Autónoma de México (UNAM), El Colegio de México (COLMEX) dan Universidad de Ixtlahuaca (CUI) yang bersetuju untuk mengadakan kerjasama terutamanya dalam program akademik, mobiliti pelajar, seminar webinar dan penyelidikan.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata, delegasinya seramai lima orang turut membuat lawatan rasmi ke Mexico baru-baru ini seiring dengan penganjuran The International Seminar 2025: Transforming Society – Balancing Sustainability and Growth for Development.
Seminar itu anjuran CUI dengan kerjasama UPTM.
“Dalam rangka lawatan ini, UPTM turut mengadakan pertemuan rasmi dengan tiga universiti terkemuka Mexico bagi meneroka kerjasama akademik dan penyelidikan dua hala.
“Lawatan ini memperkukuh komitmen UPTM di peringkat global dan kali ini di benua Latin Amerika sempena meraikan 50 tahun hubungan diplomasi antara Malaysia dan Mexico tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharifah Syahirah turut memberitahu, lawatan rasmi itu juga merupakan sebahagian inisiatif strategik UPTM yang menekankan pembangunan jaringan antarabangsa, penyelidikan berimpak tinggi dan peningkatan reputasi universiti peringkat global.
“Dengan inisiatif ini, UPTM terus memantapkan kedudukannya sebagai universiti swasta Malaysia yang berdaya saing dan berpengaruh di arena antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, UNAM merupakan universiti terbesar dan tertua apabila diasaskan pada tahun 1951 dan dibuka semula pada tahun 1910 di Mexico.
Universiti itu mempunyai 370,000 pelajar dan 60,000 kakitangan yang juga merupakan UNESCO World Heritage Site. – MalaysiaGazette
















