Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah keluar selepas mengadakan perjumpaan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perjumpaan di antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-ahli Parlimen parti itu malam tadi berlangsung bagi membincangkan perkembangan semasa, selain mengukuhkan kesepakatan serta hala tuju perjuangan parti.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, pertemuan tersebut mencerminkan sokongan padu wakil rakyat Bersatu terhadap kepimpinan Muhyiddin yang menerajui parti itu.

“Bagi pihak rakan-rakan Ahli Parlimen Bersatu, pertemuan ini membuktikan kepimpinan dan wakil rakyat Bersatu sentiasa berpegang teguh kepada semangat jamaah, disiplin organisasi, dan nilai perjuangan yang telah menjadi asas kekuatan parti sejak penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 18 Ahli Parlimen Bersatu sebulat suara memberi sokongan kepada Muhyiddin selepas pertemuan tertutup malam tadi.

Antara pemimpin yang hadir adalah timbalan presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang sebelum didakwa ‘tidak sebulu’ dengan Muhyiddin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang dikatakan bakal menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Mengulas lanjut, Abdul Khalib menegaskan, semua Ahli Parlimen Bersatu berdiri teguh bersama presiden, timbalan presiden dan barisan kepimpinan tertinggi yang diamanahkan untuk memimpin parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa gentar dan berkompromi terhadap prinsip,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan tersebut hadir daripada komitmen bersama untuk memastikan parti terus mantap, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa.

Abdul Khalib juga menegaskan, keharmonian dan kesepaduan yang kukuh antara ahli Parlimen akan terus memperkasa kekuatan parti dalam memperjuangkan dasar yang berpaksikan integriti, ketelusan dan kebajikan rakyat.

“Kami yakin keharmonian, kesepaduan, dan kesalingfahaman yang kukuh antara ahli-ahli Parlimen akan mengukuhkan lagi kekuatan Bersatu dalam memperjuangkan dasar-dasar yang berpaksikan integriti, ketelusan, dan kebajikan rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast