Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Sabah yang menampilkan calon-calon kepimpinan bersih serta berintegriti tinggi sedia berunding dan membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sebagai komponen utama PN turut berkongsi pendirian yang sama kerana kestabilan kerajaan adalah keutamaan bagi mengelakkan kegawatan yang menyusahkan rakyat serta membazirkan masa, tenaga dan wang negara.

Jelasnya, adalah lebih baik sekiranya gabungan dapat dibentuk lebih awal bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak.

“Malangnya, sentimen politik dan keyakinan setiap calon serta parti yang merasakan mereka mampu menang sering kali menyukarkan pembentukan kesepakatan sebelum pilihan raya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Terdahulu, menurut Tuan Ibrahim, ketiadaan parti dominan untuk membentuk kerajaan disebabkan terlalu banyak parti bertanding seperti yang dapat disaksikan pada PRN-17 Sabah membuka ruang kepada amalan lompat parti.

Disebabkan itu, menurut beliau, aktiviti `membeli’ wakil rakyat yang menang sering kali menjadi lebih rancak selepas pilihan raya berbanding sebelum pengundian.

Di peringkat Persekutuan, ujarnya, terdapat Akta Anti Lompat Parti iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) bagi mengekang tindakan `lompat parti’.

Namun, dakwa beliau, realitinya ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan, sebagaimana dapat dilihat dalam kes melibatkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Maka, apakah jaminan bahawa kejadian seumpamanya tidak akan berulang di Sabah?

“Jika perbezaan jumlah kerusi antara parti terlalu kecil, kerajaan yang dibentuk akan mudah terdedah kepada ketidakstabilan, sebagaimana yang berlaku dalam beberapa siri PRN lalu,” katanya.

Sementara itu, menyentuh berkenaan tuntutan 40 peratus hak Sabah, Tuan Ibrahim berkata, perkara tersebut menjadi isu utama yang disentuh semua parti politik yang bertanding PRN-17 Sabah.

Malah, ujarnya, PN juga menyokong pelaksanaan tuntutan itu sebagaimana termaktub dalam perjanjian MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Namun bagi PN, tuntutan ini bukan sekadar soal mendapatkan semula hasil negeri, tetapi juga bagaimana hasil itu diurus dan siapa yang menguruskannya.

“Integriti, amanah dan tanggungjawab adalah asasnya. Tiada makna pulangan hasil yang besar jika ia diurus oleh mereka yang terpalit rasuah atau penyelewengan dana rakyat.

“Jika individu sebegitu terus dipilih, rakyat Sabah tidak akan menikmati manfaat sebenar daripada hasil negeri sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, PN Sabah yang diketuai Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama Timbalannya, Dr. Aliakbar Gulasan serta seluruh barisan kepimpinan negeri, bersedia memimpin dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

“Sabah berhak mendapat kerajaan yang stabil, makmur dan berprinsip. PN bersedia memikul amanah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast