Noh Omar

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) menyeru semua pemimpin politik berteraskan peribumi supaya berikhtiar membina semula muafakat dalam kalangan mereka.

Timbalan Presiden MN, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah tersebut supaya mereka menjadi kelompok dominan yang akan memimpin negara dengan adil berteraskan semangat perpaduan dan menjiwai Perlembagaan.

Ujarnya, MN amat prihatin dan memandang berat isu perpecahan dalam kalangan masyarakat peribumi serta umat Islam khasnya dalam konteks politik.

“Peribumi sebagai teras negara perlu memimpin dan ini perlu dimulakan melalui kesatuan dan perpaduan dalam kalangan peribumi merentas pemahaman politik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Perkara itu antara yang dicapai oleh Ahli Dewan Tertinggi MN yang mengadakan mesyuarat dipengerusikan Noh, malam tadi.

Sementara itu, tambah Noh, mesyuarat malam tadi turut memutuskan supaya MN terus memainkan peranan ke arah kesatuan dan akan terus berusaha menyatukan semua parti politik; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) peribumi sehingga terbina gabungan dan muafakat yang kuat, kukuh serta stabil.

Jelasnya, kesatuan dan muafakat peribumi mestilah berteraskan konteks masyarakat majmuk dan perpaduan nasional serta mendokong Perlembagaan dan Rukun Negara.

“MN menyokong agar Konvensyen Khas dianjurkan yang memberi fokus terhadap asas Perlembagaan negara khususnya berkaitan perkara menyentuh kedudukan agama Islam; raja-raja, hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu serta hak semua kaum.

“MN juga mendukung sepenuhnya asas dan perjanjian Malaysia 1963 dan komited menunaikan segala yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, tambah Noh, MN mendesak kerajaan untuk menyemak semula dan tidak meneruskan perjanjian perdagangan timbal balas (ART) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan serta menggugat kedaulatan negara.

Dalam masa sama, ujarnya, MN akan meneruskan usaha penyatuan dan muafakat agar negara ini terus terbela dan dipimpin dengan adil, sekali gus rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, stabil serta harmoni tanpa ada sebarang penindasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast