ISKANDAR PUTERI – Prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan yang diperketatkan di pintu masuk darat Johor-Singapura baru-baru ini susulan kes penunggang motosikal melepasi pemeriksaan tanpa mengimbas pasport.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohd Fazli Mohamad Salleh berkata, kesesakan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini mendapat perhatian selepas video kesesakan tular dalam media sosial.
“Kesesakan terutamanya melibatkan pengguna kaunter manual, yang memerlukan pegawai membuat pemeriksaan dan mengimbas setiap pasport secara fizikal.
“Pemeriksaan manual mengambil lebih 30 saat bagi setiap individu, khususnya apabila pegawai imigresen perlu mengendalikan lebih daripada satu pasport pada satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penggulungan Belanjawan Johor 2026 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.
Mohamad Fazli menyarankan agar pengembara kedua-dua negara menggunakan dua jenis kaunter e-Gate iaitu MyBorderPass dan MyNIISe yang mampu memproses kemasukan di bawah lima saat.
Bagaimanapun, katanya, hanya sekitar 40,000 hingga 50,000 rakyat Malaysia mendaftar MyNIISe berbanding lebih 100,000 pendaftaran membabitkan warga Singapura.
“Kesesakan tidak dapat dielakkan ketika ini kerana pegawai penguat kuasa perlu memastikan tiada lagi individu yang melepasi pemeriksaan imigresen.
“Terdapat kes di mana penunggang motosikal melalui lorong manual tanpa menunjukkan pasport. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan sebab itu pemeriksaan diperketatkan,” katanya.
Pada 14 November lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dilaporkan menahan 26 rakyat Malaysia yang keluar negara melalui lorong motosikal BSI pada 16 Oktober tanpa mengemukakan pasport, satu kesalahan di bawah Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960.
Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi 26 saat yang dipercayai direkod oleh salah seorang penghuni pangsapuri yang kurang senang dengan bunyi hon ribuan motosikal di laluan keluar dan masuk Johor Bahru ke Singapura pada awal pagi.
Video tersebut turut memaparkan kesesakan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dianggarkan lebih lima kilometer. – MalaysiaGazette
















