KUALA LUMPUR – WhaleBuy Group dengan kerjasama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) melancarkan Inisiatif Digital Negara sebagai permulaan fasa baharu dalam usaha Malaysia memacu konsumsi berasaskan nilai, pertumbuhan jenama mampan dan pembangunan ekonomi digital berimpak tinggi.
Pengerusi WhaleBuy Group, Datuk Seri Lim Kor Kiat berkata, inisiatif itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta aspirasi Malaysia Madani dengan matlamat menggabungkan teknologi digital dan inovasi konsumsi.
Ia turut melibatkan sistem nilai pintar untuk membantu perusahaan meningkatkan daya saing, menyokong peralihan negara ke arah ekonomi bernilai tinggi dan memperkukuh daya tahan pasaran domestik.
“Inisiatif Digital Negara ini membabitkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha menggerakkan pemodenan digital dan pemerkasaan pasaran secara nasional.
“Wakil-wakil agensi telah menghadiri forum eksekutif dan sesi libat urus khas bagi membincangkan transformasi digital nasional, peningkatan daya saing perniagaan, pemerkasaan pengguna dan struktur konsumsi.
“Selain turut dibincangkan, pembangunan ekosistem ekonomi domestik yang lebih mampan dan kepentingan keselamatan digital dan kepatuhan industri
“Kerjasama ini dijangka membuka ruang yang lebih luas untuk memperkukuh ekosistem perusahaan Malaysia dalam menghadapi era digital baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan Inisiatif Digital Negara itu mendapat sokongan dan kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Malaysia Cyber Consumer Association dan Halal International Selangor.
Mengulas lanjut, Kor Kiat berkata, WhaleBuy yang berasal dari China merupakan penyedia penyelesaian program kesetiaan pengguna sejak 2008 yang sebelum ini telah berjaya mengumpulkan sehingga 90 juta ahli di sana.
Menurutnya, program kesetiaan pengguna telah mengalami beberapa evolusi daripada kupon fizikal yang dianggapnya sebagai generasi pertama kepada sistem kad keahlian dan kini berkembang kepada penggunaan aplikasi dan e-dompet yang menyediakan mata ganjaran berbentuk digital.
“Menerusi program kesetiaan pengguna generasi keempat yang dibawakan WhaleBuy, kami mengubah mata ganjaran daripada ‘insentif sementara’ kepada aset digital yang memberi nilai jangka panjang dan menghasilkan impak bukan hanya buat pembeli malah pemilik jenama,” katanya. – MalaysiaGazette
















