KARAMBUNAI- Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusie Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan pengundi agar tidak terpedaya dengan ‘manis-manis’ yang biasanya diberikan sebelum hari mengundi.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pengundi di Sabah perlu lebih bijak memilih dan tidak terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang diberikan.
“Biasanya, dua atau tiga hari sebelum mengundi, akan ada pembelian pengundi. Ahli politik yang tidak bekerja tapi nak menang, mereka akan beri RM100, RM200 atau RM300.
“Apabila kita bercakap masalah air, jalan dan elektrik ia umpama tiga serangkai, jangan kita terpedaya
“Yang diberi manis-manis tapi yang pahit kita tanggung lima tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tidak berniat memperkecilkan pengundi, tetapi ingatan itu diberikan kerana banyak janji yang ditabur tidak ditunaikan.
“Akan ada serangan-serangan seperti itu. Parti politik perlu bawa agenda perjuangan dan polisi-polisi kerana rakyat akan menilai dari sudut ketokohan dan boleh buat kerja.
“Saya tidak nafikan ada parti yang boleh beli manusia, tapi jangan sampai kita sengsara.
“Saya seru kepada semua pengundi, agar tidak termakan janji-janji manis,” ujarnya.
PRN Sabah akan berlangsung pada 29 November ini dengan memperlihatkan 596 calon, 9 parti termasuk 74 calon Bebas. -MalaysiaGazette















