KUANTAN – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meneruskan penyerahan agihan Wakalah Zakat Korporat melalui Projek Road to Jannah 3.0 dengan menyerahkan sebuah van jenazah bernilai RM128,500 kepada Masjid Kampung Sepat di sini bagi kegunaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, projek tersebut merupakan kesinambungan daripada fasa terdahulu yang telah menyumbangkan 14 van jenazah di seluruh negara dengan nilai melebihi RM1.5 juta.
“Hari ini saya telah menyempurnakan penyerahan agihan Wakalah Zakat Korporat melalui SSM yang melibatkan Masjid Kampung Sepat dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM390,550.
“Selain itu, SSM turut menyerahkan satu unit mesin pengorek mini bernilai RM42,500 dan sebuah kontena penyimpanan bernilai RM14,850, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bagi keperluan pengurusan pengebumian sebanyak RM57,350.
“Bagi menambah baik prasarana masjid, SSM turut menyalurkan RM5,000 bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kecil. Secara keseluruhan, Masjid Kampung Sepat menerima RM190,850 melalui sumbangan Wakalah Zakat Korporat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Serahan Wakalah Zakat Korporat sempena Projek Titian Jannah dan Program Road to Jannah, di Masjid Pantai Sepat hari ini.
Terdahulu pada majlis berasingan, SSM menyerahkan sebanyak 22 unit peralatan perubatan bernilai RM199,700 kepada HTAA bagi menyokong usaha rawatan, pemulihan pesakit serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan hospital.
Antara peralatan yang disumbangkan termasuk 13 katil pesakit boleh laras hidrolik (manual); 13 unit drip stand-stainless steel polel; lima buah transport trolley; dua unit termometer digital; dua unit stetoskop; satu unit cytospin; satu unit bedside monitor; satu unit defibrilator; satu unit ECG machine dan satu unit pulse oximeter–bedside SPO2 monitor.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober 2025, SSM telah mengagihkan dana Wakalah Zakat Korporat SSM berjumlah lebih RM6.5 juta kepada 11,131 penerima asnaf di seluruh negara.
Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah menyumbangkan dana CSR SSM berjumlah lebih RM520,000 kepada 765 penerima yang memerlukan. – MalaysiaGazette
















