GEORGE TOWN – MUDA Pulau Pinang menyuarakan kebimbangan berhubung kelewatan berterusan Projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 2) yang kini hanya dijangka siap pada 2027, berbanding sasaran asal sebelum 31 Januari 2025.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, penangguhan berulang sejak projek itu diumumkan menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pengurusan serta komitmen kerajaan negeri terhadap kepentingan rakyat.
“Rakyat sekali lagi dimaklumkan bahawa projek tersebut ditunda sehingga April 2027 walaupun jangkaan terdahulu menetapkan ia siap dua tahun lebih awal.
“Sepanjang tempoh pembinaan, penduduk setempat terpaksa berdepan pelbagai kesan sampingan termasuk gangguan trafik, kerja pembinaan yang terlalu panjang, kebimbangan keselamatan cerun dan ketidakpastian yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penangguhan itu bukan isu kecil kerana mencerminkan kepincangan dalam perancangan dan jadual kerja yang tidak realistik.
Katanya, arahan henti kerja sebelum ini menunjukkan wujudnya masalah pematuhan standard pembinaan dalam projek bernilai ratusan juta ringgit.
“Justeru kita mendesak kerajaan negeri dan pihak berkaitan mendedahkan laporan penuh kemajuan projek, kos tambahan serta menjelaskan garis masa baharu dengan telus.
“Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kelewatan, tatakelola lemah dan kitaran janji yang tidak ditepati.
“Projek itu perlu disiapkan segera, selamat dan secara telus kerana ia memberi kesan kepada puluhan ribu pengguna jalan setiap hari,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
EOT Projek Pakej 2 berasakan fakta, bukti teknikal – PIC
Terdahulu, Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan bahawa kelulusan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) bagi Projek Jalan Pintasan Pakej 2: Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu hanya diluluskan selepas kontraktor membuktikan kelewatan tersebut berasas dan selaras dengan syarat kontrak.
PIC dalam kenyataan berkata, kerja pembinaan kini mencapai kemajuan 87 peratus dan tarikh siap baharu projek tersebut diunjurkan pada 12 April 2027 selepas mengambil kira dua EOT yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak. – MalaysiaGazette
















