PUTATAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan manifesto ‘Tawaran Kasi Bagus Sabah’ merupakan inisiatif terbaik untuk menyelamatkan negeri itu.
Beliau berkata, walaupun ada beberapa perkara yang melibatkan kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri juga boleh membantu.
“Saya tahu ada isu yang di bawah Persekutuan dan ada di bawah negeri. Tapi, usahasama yang dilakukan untuk meningkatkan keselamtan negeri Sabah itu amat penting kerana Sabah ada coaster line yang sangat panjang berhampiran negara jiran serta isu-isu keselamatan tertentu.
“Sebab itu, PN tekankan perkara itu dengan menunjukkan kami faham dan Sabah tidak lagi terjejas dengan kes-kes, rompakan, pelanunan dan juga soal keselamatan,” katanya selepas meluncurkan manifesto PN ‘Kasi Nagus Sabah’ di Dataran Pomoi di sini hari ini.
Manifesto utama PN ini memfokuskan kepada 12 tunjang dan 159 tawaran untuk rakyat Sabah.
Antara yang disebut Muhyiddin adalah menunaikan apa sahaja hak Sabah seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan prinsip dan semangat ini, PN akan memperjuangkan ketetapan dalam Perjanjian Malaysia 1963 iaitu 40 peratus hasil bersih negeri Sabah mesti dikembalikan kepada Sabah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 3 6.
“Bagi memastikan kekayaan daripada hasil sumber asli negeri dinikmati oleh generasi masa depan, kita akan tubuhkan Sabah Future Fund (SFF), iaitu sebuah dana kekayaan berdaulat dengan modal permulaan berperingkat sebanyak RM10 bilion,” katanya.
Tidak hanya itu, PN turut berikrar membina sebuah kerajaan yang berintegriti dan mengutamakan kebajikan rakyat.
“Untuk tujuan ini, PN akan menggubal undang-undang bagi memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
“Kita juga akan menubuhkan sebuah Ombudsman Sabah yang bebas untuk menerima dan menyiasat aduan awam berkaitan penyelewengan, salah laku pentadbiran dan ketidakpatuhan terhadap peraturan kewangan.
“Kita juga akan menggubal dan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membolehkan orang ramai mendapatkan akses kepada maklumat dan data rasmi Kerajaan,” katanya.

Secara keseluruhan 12 tunjang antara lain tidak melupakan kaum wanita, kanak-kanak, pelajar dan juga bantuan untuk diberikan kepada orang kelainan upaya.
Muhyiddin turut menegaskan tawaran PN ‘Kasi Bagus Sabah’ adalah tawaran yang realistik, pragmatik dan boleh dilaksanakan.
“Berbekalkan pengalaman, kepakaran dan komitmen tinggi bakal kepimpinan Kerajaan Negeri dari parti PN, kami yakin bahawa semua tawaran ini dapat ditunaikan dengan cepat, cekap dan telus untuk manfaat seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Jelasnya lagi, apa yang disebutkan itu hanya akan dilaksana jika pengundi Sabah memberi mandat kepada PN untuk menjadi kerajaan negeri.
Pelancaran tawaran yang sama dilihat sebagai usaha terakhir PN untuk mencetuskan gelombang perubahan menjelang hari pengundian 29 November ini. – MalaysiaGazette















