KLUANG – Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur akan beroperasi bermula 12 Disember ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan menyempurnakan acara perasmian pengoperasian tersebut sehari sebelum itu di Johor Bahru.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan tersebut menawarkan kekerapan satu jam sekali bersamaan 10 berjalan pergi balik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Bagi penumpang yang meneruskan perjalanan ke utara, mereka akan melakukan transit di Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang turut melakukan kekerapan perjalanan sama.
“Pada masa ini, tiada perjalanan secara terus dari Johor Bahru ke Padang Besar kerana jaraknya yang terlalu panjang dan menghadkan jumlah perjalanan kepada dua kali sehari sahaja.
“Dengan cara membahagikan jarak perjalanan kepada dua peringkat ini, ia akan membolehkan kekerapan perjalanan pergi dan balik dalam jumlah lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Rel Kluang di Stesen Laman Rel Mahkota di sini hari ini.
Diminta mengulas berkaitan pembinaan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor Bahru, Anthony berkata, projek pembinaan rel mega itu sedang dipertimbangkan kerana belum berpuas hati dengan beberapa perkara yang dicadangkan.
Ujarnya, projek pembinaan itu tidak ditangguhkan kerana sememangnya menjadi tumpuan utama dan sedang diperhalusi serta berusaha untuk membincangkan agar dapat menyegerakan projek berkenaan untuk dilaksanakan.- MalaysiaGazette
















