KUALA LUMPUR – Klinik perubatan estetik terkemuka, Idealyst terus mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pencapaian Terbaik NCTF 2025 dalam satu majlis baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Idealyst, Dr Fadzlina Mohtar berkata, kejayaan dalam kategori Kosmetik Bebas itu membuktikan komitmen pihaknya untuk menjadi peneraju dalam industri estetik dan kosmetik di negara ini melalui rangkaian pusat premium.
“Anugerah yang diterima ini juga adalah hasil daripada usaha seluruh pasukan kerja Idealyst kerana mereka telah mengembling usaha serta tenaga dalam memberikan pelbagai perkhidmatan terbaik buat seluruh pelanggan.
“Ia sekali gus berjaya membawa jenama Idealyst sebagai satu imej bumiputera dalam perubatan estetik terkemuka yang terbaik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
NCTF adalah jenama produk penjagaan kulit antarabangsa popular yang dibangunkan di Perancis sebagai produk anti-penuaan yang mengandungi 60 nutrien untuk meningkatkan kesihatan sel kulit.
Sementara itu, Dr Fadzlina berkata, Idealyst sentiasa komited mencari kelainan terutama dalam rawatan dan teknologi terkini bagi memastikan setiap perkhidmatannya terbaik dan memenuhi kehendak pelanggan.
Jelas beliau, stigma negatif ke atas klinik estetik yang konon hanya sesuai menjadi pilihan golongan berada perlu dibuang jauh-jauh sebaliknya ia mampu milik untuk semua golongan.
Dalam pada itu, Idealyst diasaskan Dr Fadzlina bersama Dr Aidil Azry Mokhtar yang mula beroperasi sejak tahun 2014 dan kini telah memiliki tiga cawangan di seluruh negara. – MalaysiaGazette
















