BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah tersendiri hari ini menerusi penubuhan Kursi Di Raja dalam bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik di Fakulti Undang-Undang.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut bertitah berkenan mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga Professor of Practice di Fakulti Undang-Undang UKM, sebagai penyandang pertama Kursi Di Raja tersebut.
“Beta berbangga kerana UKM telah mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan yang berlaku melalui penubuhan Kursi Di Raja ini dan turut menubuhkan Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik UKM,” titah baginda.
Tuanku Muhriz yang juga Canselor UKM bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-53 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika berucap dalam pidato pengenalan Tengku Maimun sebagai penyandang Kursi Di Raja berkenaan, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, pelantikan Tengku Maimun merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang undang-undang, integriti dan tadbir urus baik.
Ujarnya, kepimpinan Tengku Maimun juga sentiasa ditandai dengan kebijaksanaan, kesantunan budi bicara serta ketegasan berteraskan keadilan.
Tambah beliau, Tengku Maimun bukan sahaja dihormati di Malaysia, malah oleh badan kehakiman serantau dan antarabangsa.
“Karakter beliau seharusnya menjadi teladan dan inspirasi, khususnya kepada para graduan yang diraikan pada hari ini, bahawa kejayaan sejati hadir melalui amanah, dedikasi dan integriti.
“Semoga pelantikan ini terus memartabatkan kecemerlangan akademia dan menempatkan UKM sebagai penyumbang utama dalam wacana integrity dan tadbir urus baik di peringkat kebangsaan, serantau, dan antarabangsa,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, Tengku Maimun turut dilantik sebagai Profesor Ikhtisas di Fakulti Undang-Undang UKM. – MalaysiaGazette
















