Anggota APM Kedah membantu memindahkan mangsa banjir dari kediaman mereka ke PPS.

GEORGE TOWN – Banjir di tiga negeri utara Semenanjung terus menunjukkan peningkatan apabila Perlis, Kedah dan Pulau Pinang merekodkan keseluruhan 1,893 mangsa kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini

Trend peningkatan itu susulan hujan sejak semalam yang menjejaskan kawasan rendah dan kediaman berhampiran sungai.

Di Perlis, seramai 850 orang daripada 254 keluarga sudah dipindahkan ke enam PPS di Arau, Kangar dan Padang Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, empat PPS di Padang Besar menempatkan SK Lubok Sireh (123 mangsa), SK Felda Mata Ayer (304), Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer (105) dan SK Batu Bertangkup, Chuping (77).

SK Titi Tinggi yang dibuka semalam terpaksa ditutup selepas dinaiki air, menyebabkan semua mangsa dipindahkan ke SK Felda Mata Ayer.

“Dua lagi PPS dibuka ialah Dewan Warisan, Kangar dan SK Guar Nangka, Arau,” katanya.

Di Kedah, Kubang Pasu menjadi daerah terbaru berdepan banjir apabila lima PPS iaitu SMK Changlun, Masjid Al-Ehsan, Changkat Setol, SK Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi dan SK Binjal dibuka setakat ini, bagi menempatkan 79 mangsa daripada 33 keluarga.

Di Kulim pula, seramai 371 penduduk (110 keluarga) berlindung di tiga PPS, selain 169 penduduk (49 keluarga) di Masjid Al-Muhtadin.

Turut dipindahkan ialah 39 penduduk (11 keluarga) di Surau KEDA Naga Lilit serta 163 penduduk (50 keluarga) di SK Permatang Tok Dik, melibatkan kampung di Mukim Sungai Seluang dan Mukim Naga Lilit.

Sementara itu di Pulau Pinang, data Info Bencana JKM yang dikemas kini jam 3 petang merekodkan 414 mangsa daripada 106 keluarga berada di empat PPS.

Daripada jumlah itu, 364 mangsa berada di Seberang Perai Utara, manakala 50 mangsaditempatkan di satu PPS di Seberang Perai Tengah.

Pecahan mangsa pula, melibatkan 127 lelaki dewasa, 122 wanita dewasa, 99 kanak-kanak lelaki, 60 kanak-kanak perempuan, selain enam bayi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast