KUANTAN – Seorang jurutera kilang diberkas selepas polis menemukan hampir satu kilogram ganja serta tiga pucuk pistol tiruan dalam serbuan di sebuah bengkel besi di Kampung Sungai Karang Darat, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dilakukan pasukan dari Balai Polis Beserah berdasarkan maklumat risikan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bengkel bersebelahan rumah suspek menemui sebuah kotak mengandungi ganja dengan anggaran berat 990.32 gram dengan anggaran bernilai RM2,700.
“Turut dirampas sebuah kotak mengandungi tiga pucuk pistol dipercayai pistol tiruan dan satu paket plastik berisi bebola besi (ball bearing),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, siasatan awal mendapati suspek membeli ganja secara dalam talian yang dihantar terus ke alamatnya menggunakan perkhidmatan pos.
Katanya, suspek yang bekerja di Gebeng mengaku membeli pistol mainan secara dalam talian sebelum mengubah suai dengan menggunakan ball bearing untuk kegunaan peribadi.
Menurut Ashari, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif THC dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Susulan itu suspek lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu direman sehingga 30 November 2025, jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki pistol tiruan, suspek disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















