JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat pengendali Air Johor, Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Abdul Samad, di sini, petang tadi.
Ranhill SAJ dalam satu kenyataan memberitahu, Allahyarham yang berusia 62 tahun meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
“Beliau yang berpengalaman hampir empat dekad dalam industri air terawat, merupakan nama besar dalam sektor itu di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Di bawah kepimpinannya, Ranhill SAJ mencatat pelbagai pencapaian penting termasuk peningkatan kecekapan operasi, pelaksanaan pembaharuan teknologi serta penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) terendah dalam negara,” katanya.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Dagang, dekat Kota Tinggi, esok pagi.
Allahyarham dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 16 Mei 2024, membawa bersama-sama lebih 37 tahun pengalaman luas dalam industri air negara, termasuk pengalaman dalam operasi bekalan air bersih di Johor. – MalaysiaGazette
















