Syerleena Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mampu melonjak sebagai ekonomi moden jika sektor kreatif terus dipinggirkan walaupun menerima peruntukan ratusan juta ringgit setiap tahun

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, banyak negara telah membuktikan nilai ekonomi sektor kreatif antaranya Hollywood di Amerika Syarikat dan Bollywood di India manakala Singapura muncul sebagai pusat ekonomi kreatif rantau ini melalui dana dan insentif yang besar.

“Malaysia pula masih berbahas sama ada seni itu keperluan atau sekadar pilihan. Kita masih menganggap seni sebagai makanan sampingan, bukan enjin ekonomi masa depan,” katanya ketika berbahas sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Syerleena, walaupun kerajaan memperuntukkan RM124.28 juta kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam Belanjawan 2026 namun wang tanpa reformasi tidak akan membawa perubahan.

Tambah beliau, Malaysia berisiko kehilangan peluang besar jika Finas tidak berani mengambil peranan sebagai peneraju budaya serantau, khususnya dalam kerjasama perfileman ASEAN.

Sementara itu, Syerleena mempersoalkan keberkesanan MyCreative Ventures yang menerima RM12.5 juta, sedangkan kebanyakan artis tidak mampu mengambil manfaat daripadanya dan mereka tidak patut menanggung hutang yang mengekang masa depan masing-masing.

“Kreativiti bukan mesin kilang. Ia datang dengan risiko dan keberanian. Tetapi sistem kita memaksa penggiat seni merayu geran kecil dan mengisi borang yang akhirnya berhabuk,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast