KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi khususnya jaringan komunikasi yang luas serta pantas turut membuka kepada ruang berlakunya jenayah siber.
Jenayah alaf baharu itu boleh berlaku dalam bentuk sama ada penipuan online dan panggilan telefon; percubaan memancing data; kecurian identiti; buli; ugutan dan sebagainya.
Jenayah online juga semakin kompleks dari sehari ke sehari disifatkan sifat platform digital yang merupakan satu medium terbuka membolehkan penipu mengeksploitasi platform itu seperti di media sosial, aplikasi mesej segera dan platform e-dagang.
Golongan ini menggunakan identiti palsu, visual meyakinkan dan pautan ke `link’ palsu mereka yang selalunya berunsurkan mesra pengguna dan kelihatan sah serta boleh dipercayai.
Penjenayah siber juga akan memberikan maklum balas dengan segera untuk segala persoalan dengan meyakinkan menyebabkan pengguna berasa yakin dan langsung tidak menyedari mereka sebenarnya sedang ditipu.
Menjadikan jenayah siber ini semakin rumit dan sukar dikesan juga apabila modus operandinya turut menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) sama ada untuk menghasilkan suara, imej atau mesej yang kelihatan seperti nyata.
Golongan ini sangat pandai dalam menggunakan segala kemudahan teknologi, yang boleh dianggap sebagai kelebihan mereka.
Malah, sebelum pihak berkuasa bertindak dan memahami modus operandi mereka, penjenaya siber itu sudah bergerak ke cara atau modus operandi baharu pula.
Sebagai contoh, penjenayah siber menggunakan 100 peratus peranti moden yang disokong AI dalam melakukan kegiatan mereka seperti penyebaran pautan palsu di ruang komen atau mesej peribadi.
Apa sahaja hantaran (posting) di dalam media sosial, penjenayah siber itu akan muncul dengan meletakkan pautan mereka, dengan ada yang lebih bijak membuat iklan berbayar yang mengelirukan pengguna.
Dalam situasi seperti itu, pengguna kebiasaannya akan meyakininya kerana menyangkakan ia adalah iklan perkhidmatan yang sah dan boleh dipercayai.
Ini adalah antara bentuk penipuan yang begitu banyak berlaku di hampir semua platform media sosial hari ini termasuk di platform e-dagang yang menyebabkan ramai pengguna tertipu termasuk melibatkan kerugian wang ringgit.

Disebabkan itu, seperti ditekankan pakar komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr B. Rani Ann, adalah mustahak untuk pengguna sentiasa peka dan berhati-hati ketika berurusan di platform media sosial apatah lagi yang melibatkan transaksi wang ringgit atau pertukaran identiti.
Ujar beliau yang juga Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM, pengguna sebenarnya boleh mengetahui mereka sedang berurusan dengan penjenayah online menerusi beberapa tanda atau peringatan.
Antaranya, menerusi permintaan kata laluan sekali (OTP) yang cuba diminta oleh pihak ketiga selain permintaan untuk menjadi rakan di platform media sosial daripada pengguna tidak dikenali khususnya dari luar negara.
Paling tidak boleh dipercayai adalah panggilan atau mesej dari mereka yang mengaku sebagai kakitangan kerajaan seperti polis, mahkamah, imigresen dan sebagainya yang mendakwa seseorang mempunyai pelbagai jenis rekod jenayah.
“Pengguna harus sedar bahawa kakitangan kerajaan tidak akan membuat panggilan selepas pukul lima petang dan tidak akan menghubungi nombor telefon bimbit untuk urusan rasmi.
“Segala komunikasi formal daripada kakitangan kerajaan kebiasaannya adalah melalui talian rasmi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Rani Ann, jenayah siber seperti penipuan online juga semakin berkembang disebabkan faktor mangsa sendiri apabila ramai yang enggan tampil membuat laporan polis atas pelbagai alasan seperti malu dan bimbang keselematan diri atau keluarga.
Tegas beliau, ia merupakan pemikiran yang salah kerana pengguna sepatutnya melaporkan setiap kejadian penipuan online yang berlaku supaya siasatan dapat dilakukan dan mereka juga boleh dilindungi di bawah akta-akta berkaitan.
Sebagai langkah segera sekiranya berasakan sedang menjadi mangsa penjenayah online, pengguna tidak perlu panik sebaliknya memutuskan semua komunikasi dengan pihak terlibat.
“Sebelum membuat sebarang keputusan terutamanya memindahkan wang atau membuat pelaburan dan sebagainya, pengguna perlu membuat kajian dengan lebih mendalam terlebih dahulu.
“Dalam zaman AI ini, kesahihan berkenaan sesuatu perkara itu dapat diperoleh dengan pantas.
“Paling tidak pun berbincang dengan orang lain seperti kawan dan ahli keluarga kerana lebih baik bertanya terlebih dahulu sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Sementara itu, Rani Ann turut berpandangan bahawa golongan warga emas khususnya yang sudah berpencen, dan mereka yang berada di luar bandar lebih terdedah menjadi mangsa jenayah siber khususnya melibatkan penipuan wang ringgit.
Ini disebabkan faktor penyampaian dan penerimaan maklumat berkenaan jenayah siber yang mungkin berbeza berbanding penduduk yang berada di kawasan-kawasan yang lebih maju.
Golongan itu juga merupakan golongan yang agak naif berkaitan perkembangan teknologi dan senang dimanipulasikan oleh penjenayah atau sindiket penipuan online.
“Nasihat saya adalah anak-anak harus mengambil peranan dalam mendidik ibu bapa mereka mengenai trend penipuan.
“Jangan percaya pada semua yang mereka baca dalam aplikasi online terutamanya di platform media sosial seperti WhatApps; Telegram dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette
















