KULAI – Berpantang maut sebelum ajal.
Itu pepatah tepat menggambarkan detik cemas yang dilalui seorang lelaki selepas kereta dipandunya melanggar tiang lampu dan ‘melekat’, malah hampir putus.
Bagaimanapun mangsa yang berusia 23 tahun terselamat dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini hari ini.
Video kejadian tersebut yang berdurasi sembilan saat tular dalam laman media sosial sebelum kemalangan itu dilaporkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pukul 3.45 pagi.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Proton Wira dari Senai menghala ke Singapura telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang lampu di tengah jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut mangsa mengalami cedera ringan dam dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas dari kedua-dua arah di pekan Senai.
Menurut Seng Lee, kerja-kerja mengalihkan kereta tersebut selesai pukul 10.30 pagi dengan bantuan bomba dan trak tunda.
Kes disiasat bawah Kaedah 10 LN166/59 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Asmawi Othman 019-7448960.
Tambahnya, mereka juga boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razali Kassmen berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan kereta itu tersekat di tiang lampu.
“Tiada mangsa tersepit dan telah dikeluarkan serta dihantar ke hospital oleh orang awam. Pihak bomba membantu memotong bahagian kereta bagi mengeluarkan kereta tersebut yang tersekat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Razali berkata, operasi tersebut yang disertai empat anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) tamat pukul 10.21 pagi. – MalaysiaGazette
















