Dinding penahan yang runtuh telah ditutup dengan kanvas dekat Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Taman United, Seputeh.

KUALA LUMPUR – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan menjalankan penilaian geoteknikal bagi menentukan punca pergerakkan tanah dan kaedah pemulihan yang diperlukan susulan kejadian runtuhan cerun berdekatan Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Taman United, Seputeh, di sini, yang menjejaskan 52 unit rumah.

Pengarah JMG Wilayah Persekutuan dan Selangor, Rusli Mohamed berkata, runtuhan itu berpunca dari dinding penahan di kaki cerun gagal menahan tekanan sisi tanah selepas berlaku pengumpulan air ketika hujan lebat.

“Dinding penahan ini mungkin tidak mampu lagi menahan tekanan tersebut dalam tempoh yang lama terutama waktu hujan menyebabkan tekanan hidrostatik meningkat dan stuktur itu pecah.

“Turut diperhatikan terdapat faktor lain termasuk pokok besar di tebing yang menambah beban dan akarnya memasuki stuktur, sekali gus mewujudkan titik lemah sebelum cerun gagal runtuhan berlaku,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini  hari ini.

Pengarah JMG Wilayah Persekutuan dan Selangor, Rusli Mohamed bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanaun katanya, impak tanah runtuh kepada pangsapuri itu kurang kerana terdapat kawasan ‘buffer’, namun penilaian penuh di kawasan tersebut masih belum dibuat.

“Saya lihat terdapat elemen kawalan dalam perancangan iaitu antara tebing dan bangunan mempunyai satu jalan yang menjadi ‘buffer’ maka tanah runtuh itu tidak melanggar bangunan dan masih ada ruang, ini satu amalan yang patut diteruskan.

“Saya juga cadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan pokok-pokok besar di bahagian atas di kawasan kejadian sebelum tindakan pemulihan lain dilaksanakan,” jelasnya.

Polis menunjukkan data dan kronologi kejadian tanah runtuh di Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Taman United, Seputeh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut  meninjau di lokasi kejadian berkata, pakar dari JMG dan agensi lain akan membuat penganalisaan tanah yang mengambil masa kira-kira dua minggu.

Tambah Teresa, beliau berharap penduduk dapat memberi kerjasama sepanjang tempoh kajian itu dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengarahkan semua unit berisiko dikosongkan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Saya menyeru semua penduduk di Blok C, Taman United di sini untuk mengikut arahan dan DBKL sudah membuka pusat pemindahan (PPS) di Pusat Komuniti Seri Petaling bagi menempatkan penduduk terjejas,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh di sini diarahkan dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun di kawasan berkenaan, semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast