Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 14 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) pada dasarnya tidak mempunyai halangan bagi penubuhan Kelas al-Quran Fardu Ain (KAFA) di sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, beberapa faktor perlu diambil kira termasuk mendapat persetujuan Guru Besar dan melihat kepada kesediaan sekolah.

Jelas beliau, pembukaan KAFA di sekolah kebangsaan sebelum ini adalah berdasarkan kepada permohonan daripada pihak sekolah itu sendiri.

“Pembukaan KAFA di sekolah kebangsaan boleh dibuat setelah mengambil kira jumlah guru yang dibekalkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Setiap tahun, JAWI sentiasa memohon pertambahan jawatan guru KAFA daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan ia mencukupi.

“Bermula tahun 2026, JAWI juga merancang untuk memperbanyak lagi KAFA di SK melalui kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na’im menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berkenaan usaha menangani isu-isu berkaitan faktor keciciran pelajar Muslim untuk mengikuti kelas KAFA di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan akan terus meneliti keperluan pendidikan al-Quran dan Fardu Ain di kawasan berpenduduk padat dan memperluas penawaran KAFA secara berfasa, selain melaksanakan pemantauan kualiti pengajaran secara berterusan.

“Usaha ini selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI yang menitikberatkan pembangunan modal insan Muslim yang seimbang dari aspek akademik dan rohani,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast