KUALA LUMPUR – Sebanyak 92.5% atau 17,615 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 58 buah Pusat Mengundi Awal dibuka antara jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Sabah.
“Seramai 8,347 orang anggota tentera serta pasangan dan 10,696 orang anggota polis serta Polis PGA dan pasangan layak untuk mengundi awal dalam PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 ini,” katanya menerusi kenyataan.
Semua kertas undi awal akan disimpan di balai polis yang ditetapkan dan akan dikira selepas tamat waktu pengundian pada Sabtu ini.
SPR menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah melibatkan 1.76 juta pengundi. – MalaysiaGazette
















